KUALA LUMPUR: UMNO tampil dengan formula baharu politik Melayu menerusi Tafahum Siyasi atau persefahaman politik, bertujuan bagi menyatukan kekuatan politik Melayu, sekali gus mengelakkan pertembungan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, formula berkenaan perlu berteraskan asas yang dipersetujui bersama dengan mengutamakan persamaan demi maslahah umum, menghormati perbezaan ideologi serta garis sempadan masing-masing dan berpegang kepada prinsip toleransi serta anjal dalam membuat keputusan.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan usaha penyatuan politik Melayu berjaya bagi memenuhi kehendak orang Melayu yang tidak mahu melihat perpecahan berterusan, sebaliknya mencari titik temu berasaskan kepentingan bersama.
“Namun dalam membina titik temu, kita tidak memaksa mana-mana pihak mencairkan identitinya. Dalam kata lain, dengan siapa pun kita bekerjasama, UMNO tetap UMNO. Barisan Nasional tetap Barisan Nasional. Untuk itu, persefahaman politik ini atau dalam istilahnya disebut ‘Tafahum Siyasi’ mempunyai asas-asas yang perlu disepakati bersama
“Namun, jangan khianat-mengkhianati. Jangan bina persefahaman pada waktu siang tetapi merancang menjatuhkan rakan di malam hari. Jangan perjanjian ditandatangani, dalam masa yang sama ia dimungkiri. Jika kerbau diikat pada tali, manusia diikat dengan janji,” katanya dalam ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-69 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Mengambil contoh pembukaan kota Mekah atau ‘Fathu Makkah’, Ahmad Zahid berkata, kemenangan tidak hanya diukur pada kemampuan memperoleh kuasa, sebaliknya ukuran yang lebih besar adalah bagaimana kuasa itu digunakan setelah kemenangan berada di tangan.
“Maka Kolaborasi Agung melalui persefahaman ini perlu mengambil ibrah Perjanjian Hudaibiyah yang menatijahkan hikmah yang cukup besar, sehingga membawa kepada pembukaan kota Mekah atau ‘Fathu Makkah’,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, Tafahum Siyasi ini selaras dengan idea Kolaborasi Agung yang bukan sekadar penggabungan parti, tetapi juga bertujuan mengelakkan pertembungan yang merugikan dalam kalangan parti Melayu.
“Saya boleh baca resah orang Melayu, mereka tidak mahu bertembung, mereka tidak mahu kita berbalah sama sendiri. Di dewan ini, kita pernah melalui episod linangan air mata, di pentas ini kita berjanji bersedia. Di luar persaudaraan disambut gembira, namun perpecahan berlaku semula kerana kehadiran orang ketiga meretakkan hubungan dibina.
“Sudah-sudahlah kita lupakan episod lama kita, mari kita jalin semua penyatuan ini yang begitu didambakan orang Melayu seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menggambarkan pertemuan antara kekuatan politik bersama Pas mampu mengubah landskap politik negara menerusi formula perkongsian kuasa.
Katanya, UMNO BN mahu menjadi induk dalam politik negara, namun pada masa yang sama bersedia berkongsi kekuasaan dengan parti lain dalam membina sebuah kerajaan yang mewakili masyarakat majmuk.
“Amanah ini beza dengan kepimpinan dan dominasi, dominasi yang mahu orang lain tunduk. Kepimpinan kita adalah untuk mencipta keyakinan bagi membuatkan orang lain yakin untuk berjalan bersama dengan kita dan bagi kita di situlah letaknya makna sebenar keindukan dalam kemajmukan.
“Sebab itu MCA, MIC, PBRS, PPP serta Friends of BN bukan sekadar penghias pentas pada musim pilihan raya.
“Kita dan mereka adalah sebahagian daripada sejarah masa depan dan sebuah formula politik Melayu mampu memimpin perkongsian kuasa bersama-sama yang lain, apatah lagi bila biru bertemu hijau, pastinya warna akan berubah.
“Kita mahu orang Melayu kuat, tanpa orang lain hidup dalam ketakutan, saya mahu Islam terus dimartabatkan tanpa orang lain berasa terancam, mahu UMNO dan BN menjadi induk dalam politik negara ini tetapi cukup besar jiwa untuk kita sama-sama berkongsi kekuasaan,” katanya. –UTUSAN










