Kembalilah, jangan hidupkan semula persengketaan – Ahmad Zahid

Kembalilah, jangan hidupkan semula persengketaan – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini hari ini. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka yang pernah kecewa dan menjauhkan diri untuk kembali menyumbang kepada parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ruang itu diberikan menerusi Agenda Rumah Bangsa kepada mereka yang pernah kecewa dan menjauhkan diri untuk menyumbang semula kepada perjuangan parti.

“Rumah ini terbuka luas. Bagi mereka yang pernah membakar jambatan, membina tembok perbezaan atau mendirikan pondok baharu untuk berteduh, tidak mengapa, kembalilah.

“Jambatan boleh kita sambungkan, tembok boleh diruntuhkan dan pondok boleh ditinggalkan. Rumah UMNO ini cukup besar untuk menempatkan kalian semua kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Daganga Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, kepulangan mereka turut membawa generasi baharu untuk bersama-sama menyertai perjuangan UMNO.

“Kita berhimpun di rumah ini atas dasar kasih kepada perjuangan dan perjuangan itu tidak pernah padam. Cuma jangan kembali untuk menghidupkan semula persengketaan.

“Cukuplah. Insya-Allah, kita rangkul semua untuk berada di bawah rumah yang sama,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyeru anak muda mencorakkan Rumah Bangsa bersama-sama generasi terdahulu bagi memastikan UMNO terus menjadi tempat berteduh zaman-berzaman.

“Rumah ini rumah semua. Bukalah jendelanya, susun semula ruangnya dan warnai perjuangannya,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×