KUALA LUMPUR: Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-69 dimulakan dengan memberi penghargaan kepada beberapa pemimpin termasuk isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau dengan jelas berharap ada berita baik susulan mesyuarat Lembaga Pengampunan yang diadakan pada hari ini.
“Kita juga ada seorang tetamu istimewa Datin Seri Rosmah Mansor, kita beri penghargaan dan keberadaan beliau.
“Mudah-mudahan ada berita paling baik hari ini Insya-Allah,” katanya di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh sebelum ini mengesahkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan diadakan hari ini.
Media melaporkan, mesyuarat itu akan diadakan pada jam 8.30 pagi ini.
Selain itu, Ahmad Zahid turut memberi penghargaan kepada pemimpin yang didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kita bersimpati yang dibaju oren kan, simpati kita tetap menebal kepada kedua-dua rakan ini,” katanya.
Semalam, bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dibebaskan semalam selepas mahkamah menolak permohonan polis untuk melanjutkan tempoh remannya.
Beliau sebelum ini direman dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berhubung kes penipuan berkaitan pemberian hibah Lembaga Tabung Haji (TH). –UTUSAN










