TAIPING: Ibu bapa dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah ketika keadaan jerebu serius jika bimbang ia menjejaskan kesihatan, namun perkara itu perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak sekolah.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kelonggaran itu diberikan sekiranya ibu bapa merasakan keadaan jerebu tidak sesuai untuk anak-anak berada di sekolah.
“Sekiranya ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah selama satu atau dua hari atau untuk tempoh tertentu ketika situasi jerebu serius, perkara itu dibenarkan, tetapi mereka perlu memaklumkan kepada pihak sekolah terlebih dahulu,” katanya selepas menghadiri lawatan ke Hospital Taiping di sini hari ini.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memahami kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak, terutama apabila keadaan jerebu semakin serius.
Katanya, ibu bapa juga diyakini mampu membuat keputusan terbaik untuk anak masing-masing berdasarkan keadaan semasa.
Dalam pada itu, Wong menegaskan KPM mempunyai garis panduan dan mekanisme jelas bagi menangani situasi jerebu di sekolah, sekali gus menolak dakwaan bahawa kementerian tidak mempunyai perancangan dalam menghadapi keadaan berkenaan.
Katanya, berdasarkan garis panduan ditetapkan, semua aktiviti luar bilik darjah akan dihentikan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
“Sekiranya bacaan IPU melebihi 200, sekolah yang terbabit akan ditutup,” katanya.
Beliau berkata, langkah berkenaan pernah dilaksanakan ketika fenomena jerebu melanda Sarawak dan dibuat berdasarkan garis panduan sedia ada.
Sementara itu, Wong menjelaskan garis panduan menangani cuaca panas adalah berbeza dan tidak boleh disamakan dengan tindakan berdasarkan bacaan IPU.
“Cuaca panas tidak ada kaitan dengan bacaan IPU dan sebagainya. Kita mempunyai garis panduan berkenaan cuaca panas, termasuk perkara berkaitan pemakaian uniform,” katanya.
Beliau berkata KPM bersama pihak pengurusan sekolah mempunyai garis panduan dan mekanisme tersendiri bagi memastikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan murid terus diberi perhatian mengikut keadaan semasa. –UTUSAN










