PETALING JAYA: Cebisan anggota atau abu mangsa nahas beragama Islam tetap wajib dihormati dan diuruskan sebagai jenazah, bukannya dibuang atau dilupuskan seperti bahan biasa.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, kesempurnaan jasad bukan syarat mutlak untuk seseorang menerima penghormatan dan pengurusan menurut hukum syarak.
Katanya, pada asasnya pengurusan jenazah merangkumi empat perkara iaitu memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikannya yang merupakan fardu kifayah.
Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan kewajipan tersebut mengambil kira keadaan dan kemampuan sekiranya jasad mengalami kerosakan teruk akibat kemalangan atau kebakaran.
“Dalam Mazhab Syafie, sekiranya ditemukan sebahagian daripada jasad seorang Muslim yang disahkan meninggal dunia, bahagian tersebut hendaklah diuruskan dengan penuh penghormatan.
“Jika boleh dimandikan tanpa menyebabkan kerosakan lebih lanjut, ia hendaklah dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, sekiranya keadaan jasad terlalu teruk sehingga tidak boleh dimandikan, tayammum boleh dilakukan sebagai ganti, terutamanya apabila penggunaan air dikhuatiri menyebabkan jasad semakin hancur.-UTUSAN










