KUALA LUMPUR: Kemerosotan prestasi beregu wanita No. 5 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah mengundang kebimbangan kem badminton negara menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Kegagalan gandingan No. 1 negara itu di peringkat 16 terbaik pada China Masters minggu lalu, terus membangkitkan persoalan sejauh mana Pearly-Thinaah bersedia menyumbang pingat.
Pearly mengakui isu kecederaan menyumbang prestasi tidak konsisten dan dia sedang berusaha untuk mendapatkan semula sentuhan terbaiknya pada Sukan Asia nanti.
“Saya memang tidak menduga sama sekali isu kecederaan saya datang dan pergi. Tetapi sejak balik dari China Masters, kami ada masa seminggu untuk membuat persediaan.
“Kami memang berusaha keras untuk meningkatkan kembali persembahan kami pada setiap hari dan berharap dapat keputusan yang baik,” katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dekat sini, kelmarin.
Thinaah pula tidak menafikan China Masters mendedahkan kelemahan yang perlu diperbaiki segera walaupun setakat ini permainan mereka menunjukkan sedikit peningkatan kecil.
“Kami kini fokus membuat persiapan dan saya yakin prestasi kami bertambah baik, walaupun hanya satu peratus tetapi setiap hari kami meningkat,” tegasnya.
Pemain berusia 28 tahun itu berkata, dia dan Pearly sangat percaya kepada kemampuan diri sendiri dan tiada yang mustahil untuk kembali kepada prestasi terbaik mereka.
Memandangkan Pearly-Thinaah kini berada di luar kelompok empat terbaik dunia, maka mereka berisiko bertemu pencabar dari China, Korea Selatan ataupun Jepun lebih awal di suku akhir dan Indonesia atau Thailand seawal pusingan kedua. – UTUSAN










