KUALA LUMPUR: Mahasiswa perlu memanfaatkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) untuk tampil lebih lantang menyuarakan pandangan serta memperjuangkan kepentingan generasi muda.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun sebelum ini terdapat sekatan pergerakan mahasiswa di dalam dan luar negara atas nama parti atau kelab, namun perkembangan berhubung AUKU kini membuka ruang lebih luas kepada golongan muda untuk bergerak bebas serta melibatkan diri secara aktif.
Justeru, katanya, ruang berkenaan perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh UMNOSiswa serta Kelab UMNO Luar Negara sebagai platform untuk mengetengahkan suara mahasiswa.
“Dengan pindaan atau pemansuhan AUKU ini, kalau di dalam negara tidak ada sekatan untuk para pelajar bergerak di dalam UMNO, kita perkukuh dan perkuatkan kelab-kelab Luar Negara dan juga UMNOSiswa,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara serta UMNOSiswa di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, suara anak muda penting bagi membolehkan kepimpinan mengetahui permasalahan yang dihadapi golongan mahasiswa, termasuk pandangan mereka mengenai masa depan politik negara dan penambahbaikan sistem politik.
Pada 15 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.
Pada 26 Ogos, Anwar turut mengarahkan supaya sebarang tindakan disiplin terhadap mahasiswa yang dikenakan semata-mata kerana menyuarakan kritikan atau pandangan akademik ditarik balik serta-merta.
Sementara itu, Presiden Kelab UMNO Luar Negara Cawangan Newcastle, Muhammad Amir Ikram Mohd Fadil, 23, menyifatkan pemansuhan AUKU sebagai peluang untuk mahasiswa menyuarakan isu yang dihadapi dengan lebih terbuka.
Beliau berkata sebelum ini terdapat batasan tertentu untuk mahasiswa yang terlibat dengan kelab atau pertubuhan menggunakan nama UMNO, termasuk dalam menyampaikan pandangan berkaitan dasar kerajaan.
“Mungkin ada sesetengah perkara yang sensitif, tetapi perkara yang sensitif itulah yang kadang-kadang menyentuh dasar kerajaan. Sedangkan perkara yang saya sentuh dalam ucapan itu sebenarnya adalah permasalahan yang berlaku.
“Jadi, dengan tiadanya lagi sekatan, saya rasa itu satu peluang untuk mahasiswa bersuara dengan lebih terbuka dan membolehkan permasalahan yang berlaku di luar sana didengari,” katanya ketika ditemui Bernama.
Muhammad Amir berkata pada masa sama mahasiswa perlu menggunakan kebebasan itu secara bertanggungjawab dengan memahami sesuatu isu secara menyeluruh sebelum mengemukakan pandangan.
“Saya harap kaji betul-betul, jangan ada masalah sedikit terus mengadu seolah-olah kerajaan tak buat apa-apa. AUKU sudah tidak ada sekatan, kita boleh cakap apa sahaja, tetapi kita kena tahu bagaimana untuk meluahkan, kita tahu proses dan sistem,” katanya.
Beliau berkata Kelab UMNO Luar Negara juga berperanan sebagai platform untuk menghubungkan komuniti Malaysia di luar negara dan memastikan pandangan mereka dapat disampaikan kepada pihak berkaitan.
Muhammad Amir berkata sebanyak 57 perwakilan dari Mesir, Jordan, United Kingdom, Rusia dan Indonesia menyertai perhimpunan tahun ini, sekali gus menjadi penyertaan terbesar Kelab UMNO Luar Negara.-BERNAMA










