Ibu bapa lepas tangan punca prestasi pelajar merosot

Ibu bapa lepas tangan punca prestasi pelajar merosot

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sikap sebahagian ibu bapa dan penjaga yang melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah dikenal pasti sebagai punca utama kemerosotan prestasi pelajar.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, segelintir ibu bapa terlalu memandang mudah aspek pendidikan anak-anak dan ia boleh dilihat menerusi kemerosotan jumlah kehadiran  dalam mesyuarat PIBG di sekolah.

“Kehadiran ibu bapa itu sendiri penting untuk mengetahui perkembangan terkini dan isu-isu yang berlaku di sekolah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain itu, katanya, ibu bapa turut didapati hanya menumpukan perhatian kepada pencapaian akademik anak-anak semata-mata, tanpa memberi ruang secukupnya kepada aspek perkembangan lain seperti kemajuan emosi, pendekatan rohani, serta hubungan sosial dalam kalangan pelajar.

“Hubungan sosial antara pelajar turut belum mendapat sokongan sepenuhnya daripada ibu bapa.

“Inilah yang menyebabkan ibu bapa dilihat memandang sepi terhadap tanggungjawab tersebut, sedangkan ia sepatutnya dilaksanakan secara berterusan dan bukan sekadar diserahkan kepada pihak sekolah,” katanya.

Mohamad Ali berkata, langkah pertama yang perlu diambil ialah memperbetulkan persepsi bahawa tanggungjawab ibu bapa terhadap anak bukanlah sesuatu yang boleh dilepaskan begitu sahaja.

“Ibu bapa dan penjaga perlu meningkatkan lagi interaksi bersama anak-anak, misalnya semasa makan malam atau makan tengah hari, semasa solat berjemaah, serta mengajak mereka berbincang dan mengadakan hari keluarga di rumah, bukan sekadar di luar rumah.

“Ibu bapa dan penjaga perlu mengeratkan hubungan melalui aktiviti bersama seperti berjalan-jalan, mencari makanan, atau bersukan, yang tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar,” katanya.

Menurut Mohamad Ali, ibu bapa perlu memberi ruang kepada anak-anak untuk berinteraksi dengan ahli keluarga yang mereka percayai bagi mendapatkan bantuan, sekiranya mereka tidak mahu berkongsi dengan ibu bapa sendiri.

Beliau turut mencadangkan penglibatan wakil-wakil kreatif serta mengajak anak-anak dan rakan-rakan mereka datang ke rumah pada majlis-majlis tertentu, bagi membimbing anak-anak ke arah kesejahteraan keluarga yang lebih baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×