Pesawat bawa Zelensky nyaris dilanggar dron

Pesawat bawa Zelensky nyaris dilanggar dron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OSLO: Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store mendedah pesawat yang membawa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dari Moldova ke Oslo hampir dilanggar sebuah dron.

Zelensky tiba di ibu negara Norway itu pada Selasa malam bagi menghadiri pengebumian Raja Norway, Harald V.

“Pesawatnya hampir dilanggar dron ketika berlepas dari Moldova. Itulah realiti kehidupan yang dihadapinya,” kata Store kepada penyiar awam Norway, NRK pada Rabu.

Store tidak mendedahkan sumber maklumat berkenaan atau sejauh mana jarak dron itu dengan pesawat terbabit.

Namun pada Rabu, jurucakap kerajaan Moldova mengesahkan kejadian itu dalam satu kenyataan dan berkata, insiden berlaku pada Selasa sebelum pesawat berlepas dan membabitkan dron Russia.

Jurucakap itu berkata, penerbangan berkenaan ditangguhkan selepas pihak berkuasa menutup ruang udara Moldova susulan amaran kehadiran dron.

Pesawat Zelensky kemudian dibenarkan berlepas sejurus dron berkenaan disahkan terhempas di wilayah Moldova.

Ketika berada di Oslo, Zelensky mengadakan perbincangan dengan Store dan kedua-dua pemimpin itu bertemu eksekutif industri pertahanan bagi membincangkan usaha mempercepatkan pembangunan sistem antipelituru berpandu Eropah yang diberi kod nama FREYJA.

Dalam satu hantaran di media sosial, Zelensky berkata, pertemuan itu memberi tumpuan kepada pembahagian tanggungjawab antara kerajaan dan syarikat pertahanan, selain menetapkan langkah yang diperlukan bagi mencapai hasil praktikal pertama daripada program berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada Norway kerana menjadi tuan rumah pertemuan ini. Saya berterima kasih kepada rakan kongsi kami atas kesediaan untuk bekerjasama. Melindungi ruang udara Eropah adalah tanggungjawab kita bersama,” kata Presiden Ukraine itu.

Kenyataan itu dibuat ketika pegawai wilayah Ukraine berkata, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dalam serangan Russia termasuk di kawasan sempadan Ukraine-Moldova dan di bahagian tenggara negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×