KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aisha Retno, yakin pemilihan lagu Diari Air Mata yang berjaya lolos ke kelompok Top 5 menerusi kategori Lagu Pop Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) dilakukan secara adil oleh panel juri.
Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, berkata, biarpun lagu berkenaan dicipta sepenuhnya oleh Ajai yang juga Ketua Juri AIM25, proses saringan Top 5 dibuat berdasarkan keputusan barisan juri.
“Insya-Allah, dengan pencalonan ini dapat membuka mata ramai bahawa saya mempunyai repertoir lagu bersama penulis lain.
“Untuk ketua juri, kita ada ramai. Semua lagu yang dicalonkan adalah berdasarkan persetujuan semua juri.
“Bukan hanya ketua juri sahaja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Top 5 AIM25, semalam.
Mengulas mengenai Diari Air Mata yang dipilih sebagai antara lima terbaik, Aisha bersyukur kerana lagu tersebut berjaya mendapat tempat di hati pendengar meskipun tidak dipromosikan secara meluas.
“Saya sendiri sangat bersyukur untuk Diari Air Mata sebab lagu itu antara karya saya yang paling ‘underrated’ setakat ini.
“Dari segi penulisan, Diari Air Mata adalah satu-satunya lagu yang tidak saya hasilkan sendiri kerana ia sepenuhnya ditulis Ajai.
“Bagi saya, lagu pop ini mendapat sokongan ramai, cuma mungkin belum tiba masa yang tepat. Tidak adil jika selepas setahun barulah ia mendapat perhatian.
“Saya memang cuba untuk ‘push’ lagu ini dan ramai juga yang menyukainya, tetapi ia belum diketengahkan,” katanya.
Lebih manis, Aisha yang pertama kali tercalon di pentas AIM berjaya menerima pencalonan dalam lapan kategori, sekali gus mengakui sukar mengawal perasaan kerana terlalu bersyukur.
“Ini pertama kali saya tercalon di AIM. Saya rasa sangat bersyukur. Terima kasih AIM25 dan saya masih lagi anak muda dalam seni yang perlu belajar banyak perkara.
“Walau apa pun orang kata dan pernah ada tragedi di sana sini, insya-Allah ada manis-manis untuk AIM. Dapat Top 5 pun saya sudah sangat gembira.
“Paling sebak sebab dapat bawa adik sendiri selaku produser. Insya-Allah, yang baik-baik.
“Ada orang kata lagu saya pelik, tetapi saya buat semua ini untuk industri, bukan untuk diri saya. Terima kasih kepada semua yang tidak henti-henti memberikan sokongan,” katanya.
Terdahulu, Aisha tercalon dalam lapan kategori termasuk Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan, Album Terbaik dan Lagu Tradisional Terbaik.
Dua lagi pencalonan diterimanya menerusi karya yang ditulis sendiri bagi kategori Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik.
AIM25 dijadualkan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Kuching, Sarawak pada 26 September ini dan disiarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi TVS di Saluran 122 dan TVS Inspire. -UTUSAN










