KUALA LUMPUR: Agenda penyatuan Melayu-Islam bukan ancaman kepada mana-mana pihak dan tidak bermaksud menafikan hak kaum lain di negara ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha membela orang Melayu bukan bertujuan memusuhi kaum lain, manakala memartabatkan Islam tidak bererti mengetepikan hak penganut agama lain.
“Apabila kita bercakap tentang penyatuan Melayu-Islam, ia bukan ancaman kepada sesiapa.
“Membela Melayu bukan bererti mahu memusuhi orang lain. Memartabatkan Islam bukan bererti menafikan hak penganut lain,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini hari ini.
Muhamad Akmal berkata, Islam mengajar bahawa kepemimpinan yang kuat mestilah mampu berlaku adil kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Masyarakat Cina dan India tidak perlu bimbang terhadap agenda berkenaan kerana Barisan Nasional (BN) sudah membuktikan setiap parti komponennya boleh mengekalkan identiti masing-masing.
“MCA tidak pernah kehilangan identiti Cinanya, MIC kekal dengan identiti masyarakat India, manakala Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) terus mempertahankan jati diri Bumiputera.
“Usaha mempertahankan orang Melayu, agama Islam dan institusi Raja-Raja tidak pernah bertujuan mengambil hak kaum lain,” katanya.
Tambah beliau, Pemuda UMNO juga tidak mahu masyarakat Cina dan India berpecah, malah percaya kedua-dua kaum itu turut tidak mahu melihat orang Melayu terus berpecah.
Katanya, seluruh rakyat akhirnya mempunyai matlamat sama untuk melihat Malaysia menjadi negara yang lebih aman, makmur dan bahagia.
“Pada masa sama, agenda penyatuan tidak boleh terhenti di meja politik semata-mata.
“Sebaliknya, penyatuan itu perlu diterjemahkan sehingga memberi kesan kepada kehidupan rakyat termasuk dalam menghadapi kenaikan harga barang, bil elektrik, minyak dan pemotongan subsidi.
“Rakyat tidak mahu melihat siapa yang duduk di meja. Rakyat mahu tahu apa yang sampai di atas meja makan mereka,” katanya. – UTUSAN










