Kurikulum Texas label Islam radikal, kejam

Kurikulum Texas label Islam radikal, kejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUSTIN: Lembaga Pendidikan Negeri Texas meluluskan kurikulum baharu bagi mata pelajaran pengajian sosial yang akan mengajar pelajar sekolah menengah mengenai Islam sebagai agama yang radikal dan kejam.

Keputusan itu dibuat menerusi undian 8-4 selepas ratusan individu memberikan pandangan dalam sesi pendengaran yang berlangsung selama beberapa jam.

Lembaga yang dikuasai Parti Republikan itu turut meluluskan pindaan terhadap kaedah pengajaran agama di sekolah awam Texas menerusi kurikulum berkenaan.

Kurikulum baharu itu akan membabitkan kira-kira lima juta pelajar di seluruh negeri.

Mulai tahun persekolahan 2030-2031, apabila buku teks baharu mula digunakan, petikan Bible akan dijadikan bahan bacaan wajib, manakala aspek positif agama Kristian turut diberi penekanan.

Dalam masa sama, kempen ketenteraan Islam pada peringkat awal akan digambarkan sebagai ‘kejam’, sedangkan istilah sama tidak digunakan untuk menggambarkan peperangan yang dilancarkan oleh penganut Kristian.

Pengajaran mengenai sejarah awal Islam turut akan memberi tumpuan khusus kepada isu perhambaan dan tawanan wanita, lapor saluran berita Fox4 Dallas-Fort Worth.

Keputusan itu bagaimanapun mendapat kritikan pelbagai pihak.

“Sejarah terpilih bukan pendidikan. Pelajar Texas berhak mempelajari sejarah yang tepat, lengkap dan adil,” kata anggota Dewan Perwakilan negeri itu, Salman Bhojani, yang beragama Islam menerusi hantaran di X sebelum pengundian minggu lalu.

Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), pertubuhan hak sivil Islam terbesar di Amerika Syarikat, mengetuai bantahan terhadap kurikulum baharu berkenaan.

“Untuk rekod, tiada siapa meminta Lembaga Pendidikan Negeri Texas menapis sejarah,” kata pertubuhan itu menerusi hantaran di X sebelum pengundian.

CAIR berkata, sekolah awam sepatutnya mengajar sejarah, termasuk sejarah agama-agama dunia.

“Bagaimanapun, sekolah awam tidak sepatutnya memaksa guru dan pelajar untuk menyasarkan serta memperlekeh agama tertentu, dalam kes ini Islam,” katanya.

Perlembagaan AS menetapkan bahawa negara itu tidak mempunyai agama rasmi dan fungsi kerajaan serta institusi agama perlu dipisahkan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×