KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan mendengar keterangan tambahan saksi pendakwaan dalam kes rasuah projek solar hibrid sekolah luar bandar di Sarawak membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor pada 17 September ini.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh tersebut pada sebutan kes itu hari ini.
Pada 1 September lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Rosmah untuk memasukkan bukti baharu melalui keterangan tambahan daripada saksi pendakwaan ke-16 (PW16), Rayyan Radzwill Abdullah berkait kes rasuah tersebut.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli yang bersidang bersama Datuk Choo Kah Sing dan K. Muniandy mengarahkan keterangan tambahan hanya memfokuskan kepada laporan polis, akuan bersumpah (SD) dan afidavit sokongan yang dikemukakan Rayyan.
Dengan keputusan tersebut, rayuan Rosmah terhadap hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas kesalahan rasuah itu yang sepatutnya mula didengar pada tarikh sama ditangguhkan ke 14 Oktober ini.
Terdahulu, peguam bela, Datuk Jagjit Singh memaklumkan mahkamah berhubung keputusan Mahkamah Rayuan dan memohon agar satu tarikh pendengaran ditetapkan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan tersebut dan permohonan untuk menggantung prosiding tersebut namun tarikh pendengaran bagi kedua-dua permohonan itu masih belum ditetapkan.
Sehubungan itu, pendakwaan memohon agar prosiding pendengaran itu ditangguhkan sementara menunggu permohonan gantung prosiding dan rayuan itu didengar.
Mendengar perkara itu, seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kadir bangkit dan membantah permohonan tersebut atas alasan Mahkamah Rayuan telah memberi arahan jelas bahawa keterangan tambahan itu perlu didengar dalam masa dua minggu dari tarikh hari ini.
Hakim Aslam sebelum menetapkan tarikh pendengaran itu memaklumkan bahawa beliau perlu akur dengan arahan yang telah diberikan oleh mahkamah Rayuan.
“Jika penggantungan dibenarkan, kita akan tentukan kemudian. Jika tidak, kita teruskan sebagaimana arahan Mahkamah Rayuan. Jika saya tidak patuh dengan arahan tersebut, saya boleh dikatakan telah menghina mahkamah,”kata hakim itu.
Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau didapati bersalah meminta suapan berjumlah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.
Suapan itu sebagai dorongan untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak daripada Kementerian Pendidikan.
Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan serentak, selain didenda RM970 juta. Beliau diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya. – UTUSAN










