Ekonomi hitam ancam kedaulatan negara - Utusan Malaysia

Ekonomi hitam ancam kedaulatan negara

Datuk Dr. Ramalan Yunus
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi hitam bukan lagi sekadar melibatkan kegiatan penyeludupan atau penipuan, sebaliknya boleh mengancam kedaulatan negara apabila wang haram mula mempengaruhi institusi, dasar serta proses membuat keputusan kerajaan.

Penganalisis Politik dan Ekonomi, Prof. Datuk Dr. Ramalan Yunus berkata, ekonomi hitam kini berkembang menjadi satu ekosistem kewangan gelap yang menghubungkan aktiviti jenayah, pengubahan wang haram, rasuah, salah guna kuasa dan penguasaan institusi sehingga mampu menjejaskan integriti sistem pentadbiran negara.

Menurut beliau, ekonomi hitam merujuk kepada kegiatan yang melanggar undang-undang, menyembunyikan pendapatan daripada pihak berkuasa atau menggunakan hasil daripada aktiviti jenayah dan tidak seharusnya disamakan dengan keseluruhan sektor ekonomi tidak formal.

Katanya, kegiatan itu berkembang apabila wujud keuntungan besar daripada aktiviti haram, kelemahan penguatkuasaan, ketirisan sistem, rasuah, penyalahgunaan syarikat dan akaun, selain penggunaan teknologi kewangan yang dieksploitasi bagi menyembunyikan transaksi.

Beliau berkata, apabila wang daripada aktiviti haram berjaya memasuki sistem kewangan, ia boleh ditukar menjadi aset yang kelihatan sah sebelum digunakan untuk membeli pengaruh, mendapatkan perlindungan serta memperoleh kontrak, lesen atau akses kepada keputusan penting kerajaan.

“Wang haram digunakan untuk membeli perlindungan, mempengaruhi pegawai dan memanipulasi keputusan sebelum memperoleh kontrak, lesen atau akses yang akhirnya menghasilkan lebih banyak wang,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, landskap ekonomi hitam di Malaysia kini semakin kompleks apabila turut melibatkan penipuan dalam talian, akaun keldai, perjudian digital, pengubahan wang haram, jenayah siber, pengelakan cukai, pecah amanah dan jenayah terancang yang saling berkait antara satu sama lain.

Menurutnya, perkembangan ekonomi hitam bukan sahaja menyebabkan kerajaan kehilangan hasil, malah mewujudkan persaingan tidak adil kepada perniagaan yang mematuhi undang-undang, menjejaskan keyakinan pelabur, mengurangkan produktiviti negara serta membolehkan kegiatan jenayah terus berkembang.

Katanya, jika ekonomi hitam menjadi terlalu besar, ia boleh mempengaruhi politik, dasar, kontrak dan institusi sehingga mewujudkan jaringan kuasa tidak rasmi yang cuba menentukan bagaimana sistem negara berfungsi, justeru usaha membanterasnya perlu melangkaui tindakan terhadap pelaku di peringkat bawahan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pendekatan Amanah by Design dan Open Ledger Governance diperkenalkan dengan memanfaatkan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), analitik data, audit bebas dan ketelusan supaya setiap wang awam mempunyai jejak, setiap kontrak boleh diaudit dan penerima manfaat sebenar dapat dikenal pasti tertakluk kepada keperluan undang-undang serta perlindungan privasi.

“Teknologi bukanlah penyelesaian mutlak. Tetapi teknologi boleh mengurangkan ruang untuk manipulasi jika ia digabungkan dengan undang-undang, audit bebas, kebebasan institusi, penguatkuasaan, ketelusan dan budaya amanah.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada akhlak individu, sebaliknya sistem negara perlu direka supaya penyalahgunaan kuasa menjadi sukar dilakukan dan mudah dikesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×