PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan sebagai sebahagian daripada reformasi menyeluruh sistem kesihatan negara.
Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah tersebut penting bagi mengukuhkan kebajikan petugas kesihatan negara susulan kemalangan helikopter yang membawa petugas Kementerian Kesihatan di Sarawak .
Katanya, insiden itu sekaligus mengingatkan cabaran dan risiko dihadapi warga kesihatan dalam melaksanakan tugas di kawasan pedalaman dan lokasi yang sukar diakses di samping isu kebajikan serta imbuhan petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) turut kembali mendapat perhatian.
“Saya mencadangkan supaya kerajaan mempercepatkan usaha ke arah penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan sebagai sebahagian daripada reformasi menyeluruh sistem kesihatan negara.
“Keperluan terhadap suatu mekanisme yang lebih khusus bagi mengurus tenaga kerja kesihatan telah pun dikenal pasti dalam proses reformasi yang digariskan menerusi Kertas Putih Kesihatan,” katanya di Facebook hari ini.
Kelmarin, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.
Menurut CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) ketika kejadian.
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
Dalam pada itu Zaliha berkata, isu berkaitan elaun petugas Perkhidmatan Doktor Udara yang telah dikemukakan untuk pertimbangan sejak November 2025 merupakan antara contoh yang menunjukkan perlunya suatu mekanisme yang lebih khusus dan responsif dalam menangani keperluan warga kesihatan.
“Kita tidak seharusnya menunggu sehingga sesuatu isu mendapat perhatian umum sebelum tindakan dapat digerakkan. Sebaliknya, perlu ada suatu struktur yang mampu meneliti, menyelaras dan menangani keperluan tenaga kerja kesihatan secara berterusan, tersusun dan lebih pantas,” katanya. – UTUSAN










