Nahas helikopter: Suami belum dapat lihat jenazah Dr. Ainul

Nahas helikopter: Suami belum dapat lihat jenazah Dr. Ainul

Dr. Ainul Baraah Kamarudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Suami kepada Allahyarham Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, yang maut dalam nahas helikopter di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Marudi, Sarawak, masih belum dibenarkan untuk melihat keadaan jenazah isterinya setakat ini.

Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, berkata, dia bersama keluarga termasuk ibu dan bapa mentuanya ditempatkan di Hotel Jinhold, Miri buat masa ini sementara menunggu panggilan ke hospital.

Katanya, sepanjang proses itu, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kelima-lima mangsa termasuk isterinya akan dihantar ke makmal kimia di Kuching, Sarawak untuk dianalisis.

“Buat masa ini, kami sekeluarga belum dibenarkan untuk melihat jenazah Allahyarham Ainul Baraah di hospital.

“Mungkin petang ini kami akan dibawa ke hospital. Barangan peribadi milik arwah sudah diserahkan kepada pihak berkuasa semalam untuk proses pengecaman,” katanya.

Muhammad Faiz memberitahu, jenazah arwah isteri dijangka dibawa pulang ke Kelantan untuk urusan pengebumian esok.

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan dan agensi lain sedang berusaha untuk mempercepatkan segala proses agar jenazah kelima-lima mangsa dapat disemadikan secepat mungkin.

Utusan Malaysia, sebelum itu melaporkan, seorang juruterbang dan empat penumpang helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) disahkan maut selepas pesawat itu terhempas di Long Lellang STOLport petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang berkata, kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter berkenaan disahkan meninggal dunia dalam nahas kira-kira pukul 3.40 petang itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×