Piala FA: Terengganu menang 3-2 ke atas DPMM FC

Piala FA: Terengganu menang 3-2 ke atas DPMM FC

PEMAIN Terengganu, Jordan Mintah melonjak tinggi untuk menanduk bola sambil dicabar pemain DPMM FC pada aksi pertama Piala FA 2026 di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Brunei, malam ini.-IHSAN MFL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) menunjukkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan DPMM FC 3-2 pada aksi pertama Piala FA di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Brunei, sebentar tadi.

Aksi penuh mendebarkan itu menyaksikan skuad Penyu berdepan tentangan sengit daripada wakil tuan rumah yang terlebih dahulu merobek gawang TFC seawal minit ke-10 menerusi jaringan Jordan Murray.

Terengganu bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi Ubaidullah Shamsul pada minit ke-32 namun DPMM FC kembali mendahului perlawanan apabila Murray sekali lagi menghukum kelalaian benteng pelawat menerusi gol keduanya pada minit ke-36.

Ketika tuan rumah dilihat hampir menamatkan babak pertama dengan kelebihan gol, Ubaidullah sekali lagi tampil mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-45 untuk memastikan kedudukan kembali seimbang sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan.

Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi mencari gol tambahan.

Terengganu terus mengasak benteng tuan rumah dalam usaha mencari gol kemenangan, manakala DPMM lebih banyak bergantung kepada serangan balas pantas.

Usaha tanpa henti skuad kendalian Nafuzi Zain akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-86 apabila penyerang naturalisasi, Romel Morales meledak jaringan kemenangan.

Kemenangan itu memastikan Terengganu membawa bekalan satu gol bagi aksi kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak selepas perlawanan berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada minggu lalu ditunda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×