SEORANG pemimpin kanan sebuah parti yang menggunakan nama Islam, dengan berani mengatakan bahawa menyokong partinya akan masuk syurga. Ini kerana parti tersebut memperjuangkan syariat Islam. Tidak dinafikan, sememangnya memperjuangkan Islam insya-Allah akan diberi ganjaran syurga.
Persoalannya, adakah Islam membolehkan penyebaran berita, khususnya yang memburukkan pihak lawan tanpa fakta dan bukti yang jelas? Allah SWT dalam surah al hujurat, ayat 6, mengingatkan kita supaya menyelidik dan memastikan kesahihan setiap berita yang diterima sebelum menyebarkannya bagi mengelak keburukan ke atas pihak yang difitnah?
Adakah dalam memperjuangkan Islam kita dibenarkan memaki hamun, mengeluarkan kata-kata yang kesat dan menggunakan bahasa yang kasar? Tidakkah Rasulullah SAW melarang kita mencela, melaknat, mengeluarkan kata-kata yang keji dan kotor?
Bermaksud, sekiranya seorang muslim memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata yang kesat terhadap muslim yang lain, maka gugur statusnya sebagai seorang muslim.
Dalam menghadapi Firaun yang mengaku tuhan sekalipun, Allah memerintahkan untuk berlemah-lembut, apatah lagi menghadapi manusia biasa.
Rasulullah menasihati supaya kita mengalah walaupun berada di pihak yang benar sekiranya pihak lawan masih berkeras dengan pendiriannya. Itu lebih baik daripada bertegang urat tanpa kesudahan.
Banyak lagi ayat-ayat al-Quran dan hadis nabi yang mengajar kita adab, pendekatan yang berhikmah dan bersopan dalam menegakkan Islam. Jika kita terus melakukan sebaliknya kononnya atas nama memperjuangkan Islam, kita sebenarnya menghina dan menjatuhkan maruah agama yang suci.
Islam menjadi momokan kerana ada segelintir mengambil pendekatan yang tidak beradab, berhikmah dan bersopan dalam memperjuangkannya.
Mungkin ada benarnya kenyataan ketua pemuda parti tersebut bahawa mereka perlu menunggang agama untuk kepentingan politik, kerana itulah yang sedang mereka lakukan atas nama memperjuangkan Islam.
Mereka lupa dan gagal mengambil iktibar dari kisah Sayidina Ali bin Abi Thalib yang menghentikan niatnya membunuh musuh musyrikin, Amr bin Abd. Wud, kerana beliau tidak mahu tindakan tersebut tercampur dengan amarah peribadi selepas wajahnya diludahi.
Apakah pengajaran dari kisah tersebut? Islam tidak menghalal cara, menabur fitnah, memaki hamun, mendoakan keburukan sesama Islam dalam memperjuangkan agama yang diselaputi perasaan marah, dendam dan sebagainya.
Saya tidak akan sekali-kali menunggang agama untuk menegakkan kebenaran.-UTUSAN
NORUDDIN IDRIS
Kampung Melayu Subang










