PUTRAJAYA: Sambutan Hari Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak minggu depan akan diteruskan seperti dirancang walaupun beberapa kawasan di negeri itu masih berdepan situasi jerebu.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sambutan utama akan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) yang merupakan lokasi tertutup dan telah dipilih sejak awal lagi.
Menurut beliau, lebih 5,000 pengunjung dijangka menghadiri sambutan berkenaan.
“BCCK merupakan lokasi tertutup dan sememangnya dirancang dari awal untuk mengadakan sambutan dalam bangunan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Katanya, kerajaan turut menyesuaikan beberapa program sisipan yang dijadual diadakan sempena Hari Malaysia mengikut keadaan semasa.
Sebagai contoh, katanya, pameran Hari Malaysia di Kuching akan ditempatkan di Plaza Merdeka yang berada dalam kawasan bangunan bagi mengurangkan pendedahan orang ramai kepada jerebu.
Menurut Fahmi, kerajaan mengambil maklum keadaan jerebu di Sarawak yang dilihat sedikit bertambah baik ketika ini, namun situasi sebenar masih bergantung kepada faktor cuaca dan kewujudan titik panas akibat pembakaran terbuka di negara jiran. – UTUSAN










