PADANG BESAR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Izizam Ibrahim menuntut kumpulan mendakwa meletak jawatan serta keluar parti di Padang Besar mengemukakan bukti dan menyenaraikan nama setiap mereka terlibat terutama di cawangan.
Izizam berkata, beliau sendiri tidak mengetahui cawangan mana yang didakwa keluar parti itu dan kumpulan tersebut perlu membuktikan sejauh mana dakwaan berkenaan.
Katanya, beliau tidak berniat mencari salah mana-mana pihak dan hanya ingin melakukan pemutihan terhadap individu-individu yang ingin keluar parti itu.
“Saya beri masa hingga Isnin ini, kalau mereka tidak tunjuk bukti individu yang mana letak jawatan, cawangan mana tutup, bermaksud mereka fitnah dan burukkan saya serta presiden,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, Ramzi Md Udi bersama sebahagian besar Ahli Jawatankuasa (AJK), termasuk 14 daripada 24 ketua cawangan mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Turut berbuat demikian ialah Naib Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, Ramli Aripin; pemangku Ketua Srikandi Bersatu bahagian itu, Fazuwin Razak; Ketua Srikandi Muda, Nurul Hafiza Ramli serta dua AJK, Zulkefli Hassan dan Nazri Khamis.
Ramzi berkata, keputusan itu dibuat selepas mereka hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti di peringkat pusat.
Izizam berkata, sekiranya mereka gagal mengemukakan bukti sebelum Isnin, beliau akan menubuhkan jawatankuasa siasatan dianggotai ketua-ketua cawangan untuk menyiasat secara terperinci dakwaan berkenaan.
“Saya bagi tempoh sampai Isnin untuk nak buktikan, kita nak tahu cawangan mana. Saya akan buat siasatan sendiri dan kalau ada dalam siasatan itu mereka buat penipuan, saya akan rujuk ke Bersatu pusat untuk ambil tindakan.
“Kita sentiasa positif dengan perkembangan dalam Bersatu dan akan terus berjuang demi kelangsungan parti. Bila mereka duduk dalam dan tidak dapat buat kerjasama, maka berlakulah sabotaj, jadi keluarlah,” katanya.
Izizam turut menegaskan, sebagai pejuang parti, beliau akan terus berjuang memperkukuhkan Bersatu di Perlis meskipun hanya tinggal beberapa kerat sahaja pemimpin.-UTUSAN










