TEMERLOH: Seorang bekas pembantu sebuah taska di Mentakab di sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, bulan lalu.
Nor Ain Ashikin Husin, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak itu didakwa menganiaya dengan cara yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan emosi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 9.45 pagi di sebuah taska di Taman Keramat Indah, Mentakab pada 11 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh. Bagaimanapun, peguam Mohd. Falihin Kamil Mohamed Sazali yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan memaklumkan keluarga anak guamnya hanya mampu mengumpulkan RM5,000.
Menurutnya, tertuduh yang sudah berkahwin sebelum ini bekerja dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan, namun kini tidak lagi bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bercagar dan menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan, selain perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan.
Kes disebut semula pada 14 Oktober ini. Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 22 saat dalam media sosial yang memaparkan seorang wanita memarahi dan menyentuh seorang kanak-kanak yang sedang menangis di sebuah taska di Mentakab. – UTUSAN










