Dulu saya tidak mampu beli ubat ayah - Khairul Aming menangis - Utusan Malaysia

Dulu saya tidak mampu beli ubat ayah – Khairul Aming menangis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pempengaruh dan usahawan selebriti, Khairul Aming tidak dapat menahan air mata semasa bercerita mengenai rasa tidak berdaya membantu arwah bapanya, Kamarulzaman yang sakit akibat kesempitan wang.

Bercerita lanjut, kongsi Khairul Aming yang mesra disapa KA, dia berasa sangat bersalah berikutan tidak mampu memberikan rawatan terbaik buat bapanya selain bekerja sebagai kakitangan syarikat swasta membuatnya tidak boleh kerap berada di hospital.

“Saya harap sangat masa itu boleh guna sikit duit jualan untuk tolong arwah ayah masa dia sakit. Rasa sangat ‘helpless’ sebab tak ada duit. Ayah sakit teruk, hendak beli ubat tak boleh, nak upah penjaga pun tak mampu.

“Saya kerja makan gaji ketika itu, perlu berada di pejabat dan tidak boleh selalu ada di hospital untuk menjaga arwah,” katanya menangis semasa sesi siaran langsung di aplikasi TikTok, semalam.

Mengulas mengenai titik tolak perniagaannya, Khairul Aming mendedahkan dia pernah ‘berjudi’ dengan segala simpanan yang ada demi membangunkan kilang Sambal Nyet pertama di Kelantan.

Malah, dia tidak pernah menggunakan keuntungan perniagaan tersebut untuk memiliki gaya hidup mewah.

“Bila jualan meledak, saya ambil keputusan untuk tidak belanja apa-apa. Saya tak beli kereta mahal, tak pergi bercuti. Saya pusing balik semua modal, dalam bank hanya tinggal RM1,000 sahaja baki simpanan.

“Semuanya saya laburkan untuk buka kilang pertama dengan 30 orang pekerja yang kesemuanya adalah anak tempatan,” jelasnya

Dalam pada itu, jejaka asal Kelantan itu sedar bukan semua anak muda di negeri kelahirannya mempunyai peluang atau kemampuan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur membuatnya memilih untuk memberi pekerjaan kepada mereka.

“Sebab itu saya bawa mereka bercuti ke tempat mewah, makan daging Wagyu dan belikan baju raya. Ada antara mereka yang tak pernah masuk hotel mahal. Ini adalah tugas saya untuk membantu insan-insan di tempat kelahiran saya sendiri,” katanya.

Untuk rekod, bapa kepada pempengaruh ini telah menghembuskan nafas terakhir pada 29 Mac 2020. Khairul Aming sebelum ini juga pernah berkongsi bahawa dia terpaksa memperlahankan aktiviti penghasilan video pada tempoh tersebut demi menumpukan perhatian kepada penjagaan arwah bapanya.

Terdahulu, KA berdepan kritikan daripada segelintir pengguna media sosial yang mendakwa dirinya merupakan seorang kapitalis yang mengutamakan keuntungan peribadi semata-mata.

Terkilan dengan komen tersebut, Aming menafikan tuduhan berkenaan selain menjelaskan perniagaan yang diusahakan menjadi punca rezeki kepada banyak pihak termasuk pekerja, ‘supplier’, vendor, abang ‘courier’, pelanggan, cukai negara dan pungutan zakat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×