PADANG BESAR: Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Padang Besar dan sebahagian besar Ahli Jawatankuasa (AJK) termasuk 14 ketua cawangan mengumumkan peletakan jawatan serta keluar parti berkuat kuasa serta merta.
Keputusan peletakan jawatan itu dibuat setelah melalui penilaian sedalamnya di mana mereka berpendapat telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti di peringkat pusat.
Bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, Ramzi Md Udi berkata, terdapat beberapa lagi cawangan parti Bersatu di bahagian itu bakal mengikut jejak langkah sama selepas ini.
Katanya, kesemua mereka mencapai kata sepakat meletak jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta merta selain 14 daripada 24 ketua cawangan turut bertindak demikian.
“Ia membabitkan lebih dua pertiga dari cawangan Bersatu di Bahagian Padang Besar,” katanya dalam sidang akhbar di Kubang Perun, di sini hari ini.
Selain Ramzi, pimpinan lain yang meletak jawatan adalah Naib Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, Ramli Aripin, pemangku Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Padang Besar, Fazuwin Razak dan Ketua Srikandi Muda Bersatu Bahagian Padang Besar, Nurul Hafiza Ramli,
Turut meletak jawatan dua AJK Bahagian Padang Besar, Zulkefli Hassan dan Nazri Khamis.
Ramzi berkata, langkah itu adalah demi masa depan politik yang lebih jelas dan kepentingan masyarakat.
Katanya, mereka juga sepakat memilih untuk menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan) di bawah pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
“Kami ingin mengucap selamat maju jaya kepada kepimpinan Bersatu dan mengucapkan terima kasih kerana parti ini telah banyak mengajar kami,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pelantikan Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, Izizam Ibrahim sebagai Pengerusi Bersatu negeri yang baharu juga seolah-olah cuba untuk meretakkan lagi hubungan antara parti itu dengan Pas di Perlis.
“Kami tidak ada masalah dengan Izizam, tetapi lantikan beliau sudah terlewat sebab sebelum ini perkara ini sudah pun kami usulkan dalam mesyuarat. Izizam adalah antara pengasas Bersatu di Perlis dan hubungan kami selama ini terjalin atas semangat ukhuwah dalam Perikatan Nasional (PN) bersama Pas,” katanya.-UTUSAN










