KOTA BHARU: Ibu kepada Dr. Ainul Baroah Kamaruddin iaitu Rogayah Mohd. Noor, 69, pengsan selepas menerima berita kematian anaknya selepas helikopter yang dinaiki dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Marudi, petang tadi.
Perkara tersebut dikongsikan oleh suaminya, Kamaruddin Salleh, 69, semasa ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini sebentar tadi.
“Isteri saya ada masalah kesihatan dan dia baharu sahaja pulih dari serangan penyakit strok.
“Sebaik sahaja terima khabar duka itu, dia pengsan selepas terkejut,” katanya.
Menurutnya, sebelum itu dia menerima berita buruk tersebut pada pukul 5 petang selepas dihubungi oleh besan yang memaklumkan insiden berkenaan.
Kamaruddin yang ketika itu berada di rumah rehat di Pulai Chondong, Machang terus bergegas pulang ke rumah di Kampung Baung.
Utusan Malaysia, sebelum itu melaporkan, seorang juruterbang dan empat penumpang helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) disahkan maut selepas pesawat itu terhempas di Long Lellang STOLport petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang berkata, kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter berkenaan disahkan meninggal dunia dalam nahas kira-kira pukul 3.40 petang itu.
“Malangnya, kesemua lima orang di dalam pesawat telah meninggal dunia seperti yang disahkan menerusi laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan,” katanya.-UTUSAN










