TMT 2026: Larian denai dua negeri tawar panorama ala ‘Grand Canyon’

TMT 2026: Larian denai dua negeri tawar panorama ala ‘Grand Canyon’

Penganjuran kali ini merekodkan peningkatan ketara apabila seramai 1,525 peserta mendaftar berbanding 700 peserta pada tahun lalu, termasuk lebih 50 pelari antarabangsa dari 25 negara berbanding 13 negara pada 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Panorama ala ‘Grand Canyon’, suasana seakan-akan ‘safari’ serta laluan hutan dan berbukit mencabar menjadi antara tarikan Tunggul Melati Trail 2026 (TMT 2026) yang berlangsung hujung minggu lalu.

Penganjuran kali ini merekodkan peningkatan ketara apabila seramai 1,525 peserta mendaftar berbanding 700 peserta pada tahun lalu, termasuk lebih 50 pelari antarabangsa dari 25 negara berbanding 13 negara pada 2025.

Malah, TMT 2026 turut disenaraikan sebagai Asia Trail Master Candidate Race bagi 2026, sekali gus membuka peluang untuk acara berkenaan menarik lebih ramai pelari antarabangsa.

Pengarah Pasak Adventure, Mohammad Fazreen Idham Mohd Jais berkata, TMT 2026 masih mengekalkan identiti acaranya dengan merentas dua buah negeri iaitu Selangor dan Negeri Sembilan.

Katanya, ia susulan laluan perlumbaan membabitkan dua daerah iaitu Sepang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.

“TMT 2026 lebih daripada sekadar larian denai. Ia bukan sahaja mengenai perlumbaan, tetapi juga memberi peluang kepada peserta untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan merasai pengalaman yang berbeza sepanjang laluan.

“Laluan larian denai ini membolehkan peserta merentasi kawasan hutan dan berbukit yang mempunyai pelbagai cabaran, termasuk melalui kawasan berpasir dan berbatu. Tambahan, laluan trek yang terbuka menguji peserta ketahanan peserta berdepan dengan cabaran cuaca tidak dijangka.

“Trek larian TMT 2026 sebenarnya mempunyai pelbagai ‘permata tersembunyi’ antaranya Bukit Tunggul, Bukit Melati, dan Tasik Idaman. Malah terdapat laluan yang mempunyai panorama laluan ala ‘Grand Canyon’ dan ‘safari’,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Fazreen berkata, TMT 2026 turut berperanan mengetengahkan Sepang sebagai destinasi pelancongan sukan yang berpotensi menarik lebih ramai pengunjung.

Katanya, TMT 2026 turut memperluas pengalaman pengunjung menerusi ekspo pelancongan sukan yang menampilkan 37 reruai jualan dan pameran, meningkat lebih dua kali ganda berbanding 17 reruai pada 2025.

“Ekspo berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk Strongman Challenge dan sesi bual bicara.

“Penganjuran ekspo ini menjadikan TMT 2026 sebagai acara yang lebih menyeluruh dengan menghimpunkan elemen sukan, gaya hidup, komuniti dan perniagaan dalam satu platform,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×