Peruntukan sudah lulus, projek masih tertangguh – Anwar

Peruntukan sudah lulus, projek masih tertangguh – Anwar

ANWAR (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat MTPN Bilangan 1 Tahun 2026, hari ini - FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiap ketua jabatan dan agensi kerajaan diarahkan turun sendiri ke lapangan bagi meneliti permasalahan yang menghambat pelaksanaan projek pembangunan sebelum segera mencari jalan penyelesaian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan peruntukan pembangunan yang besar disediakan Kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan dengan cekap dan memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, ketua jabatan dan agensi tidak seharusnya hanya bergantung kepada laporan, sebaliknya perlu memahami sendiri kesukaran yang dihadapi di lapangan sehingga menyebabkan sesuatu projek tertangguh.

“Isu projek pembangunan yang berstatus sakit, lewat daripada jadual serta kelembapan dalam perbelanjaan peruntukan yang telah diluluskan antara yang dibangkitkan dan disentuh sewaktu Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang saya pengerusikan petang tadi.

“Saya tekankan bahawa Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan pembangunan yang besar untuk dilaksanakan oleh kementerian dan agensi di seluruh negara.

“Maka, menjadi tanggungjawab setiap ketua jabatan dan agensi untuk turun sendiri ke lapangan, meneliti permasalahan yang dihadapi serta memahami kesukaran yang menghambat pelaksanaan sebelum segera mencari jalan penyelesaian,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan tidak boleh sekadar berpuas hati apabila sesuatu peruntukan telah diumumkan dan diluluskan, sedangkan pelaksanaan projek di lapangan masih tertangguh.

“Kita tidak boleh sekadar berpuas hati apabila peruntukan telah diumumkan dan diluluskan, sedangkan pelaksanaan di lapangan masih tertangguh,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

“Setiap peruntukan yang dibelanjakan perlu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×