Kok Siang bangga kembali berkhidmat bersama BAM

Kok Siang bangga kembali berkhidmat bersama BAM

Teo Kok Siang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Teo Kok Siang yang kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku jurulatih beregu campuran berbesar hati dengan perlantikan tersebut dan berazam membantu pemain di bawah bimbingannya mencatat keputusan yang baik.

Beliau berkata, perasaan bangga dapat kembali sertai pasukan kebangsaan dan keputusan itu lebih kepada untuk mencabar dirinya sendiri dengan suasana persekitaran yang baharu.

Dalam masa sama, menurut Kok Siang, beliau juga perlu segera menyesuaikan diri dengan corak latihan pemain-pemain sedia ada yang terdiri dalam kalangan generasi muda.

“Dua generasi ini tak sama. Dulu punya generasi lebih kepada strategi dan taktik. Sekarang punya (pemain) lebih kepada peningkatan dari segi kelajuan, kuasa dan permainan yang konsisten. Semua ini tak sama.

“Sebenarnya saya baru balik tak sampai satu minggu, jadi saya pun tengah
memantau keadaan sekeliling. Saya harap boleh cuba kongsi pengalaman saya dengan adik-adik (pemain muda) di sini,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Mengulas pula mengenai peluang melatih juara dunia, Chen Tang Jie, Kok Siang berkata, jika dulu sebelum beliau meninggalkan BAM, pemain itu masih di peringkat remaja, tetapi, sebaik kembali semula ke badan induk tersebut, status pemain itu telahpun bertukar.

“Saya rasa gembira sebab dulu saya tengok dia merupakan pemain muda sedang meningkat naik, tapi, sekarang sudah juara dunia. Ini satu perkara yang bagus sebab banyak sisi dia sudah matang dari segi pemikiran, latihan dan juga sikap,” ujarnya.

Ketika ditanya tentang gandingan Tang Jie dan Cheng Su Yin yang akan beraksi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, beliau memberitahu, kedua-duanya merupakan gandingan baharu, jadi, dari segi komunikasi masih banyak perlu dipertingkatkan.

Cuma beliau berharap, Tang Jie-Su Yin tidak meletakkan tekanan kepada diri sendiri dan mereka perlu menikmati perlawanan serta cuba berikan yang terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×