SPRM perlu beri penjelasan selepas 3 bulan siasatan dakwaan percanggahan kargo - Utusan Malaysia

SPRM perlu beri penjelasan selepas 3 bulan siasatan dakwaan percanggahan kargo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memberi perkembangan bertulis berhubung laporan yang dibuatnya lebih tiga bulan lalu, selepas hanya menerima pemberitahuan automatik melalui SMS dan e-mel bahawa kes itu masih dalam tindakan.

Pakar industri maritim, Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, laporan berkenaan dibuat pada 5 Jun berkaitan dakwaan percanggahan antara bil muatan (bill of lading) dengan pergerakan fizikal kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor, membabitkan urus niaga yang dikatakan bernilai jutaan ringgit.

Katanya, walaupun SPRM memaklumkan laporan itu telah diterima dan dirujuk kepada Jawatankuasa Penilaian Maklumat sebelum siasatan dijalankan, beliau masih belum menerima penjelasan rasmi secara bertulis mengenai perkembangan atau hasil siasatan.

“Saya menerima e-mel dan SMS yang dijana secara automatik daripada SPRM yang menyatakan kes itu sedang dalam tindakan. Namun, sejak Jun hingga kini, saya masih belum menerima sebarang penjelasan bertulis daripada SPRM.

“Ketidakpastian yang berlarutan ini telah menjejaskan perniagaan yang terlibat, khususnya dalam membuat keputusan komersial dan merancang operasi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd itu dalam kenyataan hari ini.

Jeyenderan berkata, beliau menghormati proses siasatan SPRM dan telah memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mengemukakan dokumen serta maklumat yang diminta.

Bagaimanapun, katanya, tempoh masa yang jelas perlu ditetapkan bagi memastikan pengadu menerima perkembangan dan hasil laporan dalam tempoh munasabah tanpa menjejaskan kebebasan penyiasat.

“Penetapan tempoh masa tidak bermakna kita mahu mempercepatkan siasatan atau menjejaskan proses sewajarnya. Ia adalah untuk memastikan akauntabiliti, pada masa sama memberi penyiasat masa yang mencukupi untuk menentukan fakta,” katanya.

Menurutnya, perkara itu penting terutama bagi siasatan membabitkan perniagaan dan isu yang berpotensi memberi kesan kepada hasil kerajaan, pematuhan peraturan serta keyakinan terhadap industri maritim dan petroleum negara.

Beliau berkata ketiadaan kemas kini rasmi turut menyukarkannya mengetahui status semasa siasatan atau sama ada SPRM memerlukan maklumat dan dokumen tambahan daripadanya.

Jeyenderan berkata kebimbangannya bukan bertujuan campur tangan atau memberi tekanan kepada penyiasat, sebaliknya memastikan proses siasatan berjalan secara berkesan dan pihak yang terlibat mendapat kejelasan sewajarnya.

“Tempoh masa yang jelas, komunikasi berkala dan dokumentasi sewajarnya mengenai hasil siasatan boleh meningkatkan keyakinan awam terhadap agensi penguatkuasaan, khususnya dalam kes membabitkan dakwaan rasuah, salah guna kuasa atau ketirisan hasil.

“Pada masa sama, pendekatan telus dapat memberi kepastian lebih besar kepada perniagaan dan pemain industri, tanpa menjejaskan kebebasan serta budi bicara agensi dalam menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau sebelum ini berkata sekiranya dakwaan berhubung pergerakan kargo petroleum itu terbukti, perkara berkenaan berpotensi mempunyai implikasi lebih luas terhadap hasil kerajaan, pematuhan peraturan dan keyakinan terhadap sektor maritim serta petroleum Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×