MUSCAT: Tentera laut Oman pada Isnin mendedahkan bahawa pihaknya telah menyelamatkan 16 anggota kru daripada sebuah kapal tangki minyak berbendera Arab Saudi yang diserang Iran seminggu lalu di Selat Hormuz.
“Sebahagian kapal Tentera Laut Diraja Oman memberikan sokongan logistik kepada 25 anggota kru kapal tangki itu dan memindahkan 16 daripada mereka, selain memastikan rawatan perubatan yang diperlukan diberikan,” menurut Pusat Keselamatan Maritim Oman dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu tidak menjelaskan keadaan semua anggota kru.
Namun, ia mengesahkan dua anak kapal di atas kapal berkenaan, SIDR, terbunuh dalam kejadian tersebut.
Syarikat perkapalan nasional Arab Saudi berkata pada Rabu bahawa dua pelaut warga Filipina terbunuh apabila kapal tangki itu diserang di Selat Hormuz ketika keganasan baharu tercetus antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada awal minggu berkenaan.
Selepas enam bulan berperang, kedua-dua pihak masih menemui jalan buntu, dengan Iran mengganggu lalu lintas perkapalan di Selat Hormuz yang strategik, manakala AS meneruskan sekatan balas terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran. – AFP










