BEIJING: Sebuah mahkamah China pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap bekas pegawai kanan kewangan kerana menerima rasuah, selepas mendapati beliau bersalah mengumpul kekayaan secara haram berjumlah hampir AS$14 juta (RM57 juta).
Wang Jianjun, 58, berkhidmat sebagai naib pengerusi Suruhanjaya Pengawalseliaan Sekuriti China (CSRC) dari 2021 hingga 2025.
Suruhanjaya itu menyelia dan mengawal selia pasaran kewangan negara berkenaan, daripada perdagangan saham serta bon hingga penyenaraian syarikat.
Sebuah mahkamah di wilayah Shandong di timur China mendapati Wang telah menggunakan kedudukannya antara 2005 hingga 2019 untuk memberikan manfaat kepada entiti atau individu dalam bidang seperti penyenaraian syarikat, pembiayaan korporat dan pemberian kontrak.
Beliau menerima aset dan wang secara haram, sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga, berjumlah lebih AS$13.9 juta (RM56 juta), menurut kenyataan mahkamah.
Wang mengakui fakta kes di hadapan mahkamah dan menyatakan kekesalan sebelum dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, menurut kenyataan itu.
Sejak memegang jawatan pada penghujung 2012, Presiden China, Xi Jinping mengekalkan kempen antirasuah secara berterusan yang telah menjatuhkan sejumlah besar pegawai.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, skop kempen tersebut diperluaskan untuk merangkumi sektor perbankan dan kewangan. – AFP










