KUALA LUMPUR: “Kami percaya dan yakin dengan persiapan yang disusun atur penganjur.
Demikian kongsi vokalis Wali Band, Faank yang yakin terhadap penganjur, Nusantara Live Entertainment d Infinity Love Creanative Ventures (ILCV Events) dalam menyusun atur perjalanan konsert Wali Band Live In Johor Bahru yang bakal diadakan 3 Oktober ini.
Pemilik nama sebenar Farhan Zainal Muttaqin memaklumkan pihaknya percaya konsert berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik tanpa mengulangi masalah yang dihadapi pada Konsert RadjaWali Live in Malaysia sekitar Januari lepas.
“Insya-Allah, kami yakin dan percaya dengan persediaan yang telah dirancang, kejadian yang kurang baik dapat diatasi sepenuhnya.
“Saya percaya wakil penganjur dari Malaysia juga melakukan yang terbaik untuk memastikan insiden Januari lepas tidak berulang.
“Mudah-mudahan tiada halangan dan rintangan pada konsert Oktober nanti,” katanya dalam sidang media secara dalam talian yang diadakan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur.
Terdahulu konsert RadjaWali yang berlangsung pada 10 Januari lalu di Idea Live Arena, Petaling Jaya mengundang kemarahan peminat apabila ditamatkan sebelum persembahan selesai.
Sementara itu konsert Wali Band Live In Johor Bahru yang akan diadakan di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri bakal diserikan dengan persembahan eksklusif penyanyi, Najwa Latif yang terkenal dengan lagu Cinta Muka Buku dan Kosong. Tempahan tiket boleh dibuat menerusi myticket.asia.









