TEHERAN: Iran dan Oman menetapkan koridor baharu dengan Teheran mengawal pintu masuk dan keluar dari Selat Hormuz sekali gus memberi tamparan hebat kepada Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini mendakwa mengawal laluan maritim penting dunia itu.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei, berkata pada Ahad bahawa Teheran dan Muscat akan menandatangani perjanjian mengenai koridor baharu itu dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Koridor yang dirancang itu bertujuan menyediakan laluan terkawal bagi kapal komersial manakala pertikaian lebih luas mengenai pelayaran melalui Selat Hormuz dengan AS masih belum diselesaikan.
Rezaei turut berkata, Iran akan mengisytiharkan zon maritim baharu yang terhad berhampiran selat itu, bermula dari garisan sekatan tentera laut AS dan meliputi sebahagian kawasan Teluk.
Menurutnya, kapal yang memasuki zon tersebut akan dimasukkan ke dalam senarai sekatan Iran.
Iran bertindak menutup Selat Hormuz sejak 28 Februari selepas AS bersama Israel menyerang Teheran sehingga membunuh Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei. Namun, ia membukanya semula kepada kapal-kapal komersial yang tidak mempunyai kaitan dengan Washington dan rejim Zionis.
Bagaimanapun, pertikaian negara yang mengawal selat itu kemudian meruncing apabila Presiden AS, Donald Trump berulang kali mendakwa Washington menguasai pintu masuk ke laluan minyak dan gas itu.Amerika juga berbalah tentang cadangan Teheran yang mahu melaksanakan sistem bayaran kepada kapal-kapal komersial.
Menurut seorang pegawai kanan Iran, bayaran itu adalah antara 5 hingga 7 peratus daripada harga kargo yang dibawa oleh kapal-kapal tetapi Oman sedang membincangkan bayaran sekitar 3 peratus, manakala Washington mahu tiada bayaran dikenakan.
Presiden AS itu pada minggu lalu mencadangkan untuk menukarkan namanya kepada Selat Trump. Beliau berbuat demikian kurang 24 jam selepas tentera negaranya menyerang beberapa sasaran di Iran, mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang termasuk dua kanak-kanak, dalam satu majlis perkahwinan di bandar Sirik, selatan Iran.
Beliau turut menegaskan semula bahawa laluan perairan itu berada di bawah kawalan Washington meskipun Iran melancarkan serangan hampir setiap hari terhadap kapal-kapal di kawasan berkenaan.
Usaha itu dilakukan selepas trafik perkapalan komersial melalui Selat Hormuz merosot dengan ketara sejak beberapa bulan lalu.
Trafik perkapalan merosot kepada purata 10 kapal komoditi sehari dalam tempoh 10 hari sehingga 6 September, iaitu paras terendah sejak Mei.
Lebih 15 kapal melintasi Selat Hormuz pada Jumaat. Bagaimanapun, hanya dua kapal melaluinya pada Sabtu selepas pasukan AS dan Iran saling melancarkan serangan.










