‘Tak masuk akal banding tiga tahun dengan lapan bulan'

‘Tak masuk akal banding tiga tahun dengan lapan bulan’

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menyifatkan perbandingan mengukur tahap kejayaan dalam tempoh lapan bulan pentadbirannya dengan tiga tahun kepemimpinan terdahulu, tidak masuk akal.

Katanya, meskipun tempoh pentadbiran beliau masih baharu, pelbagai inisiatif pembangunan, pelaburan dan kebajikan berimpak tinggi berjaya dilaksanakan berbanding tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, antara pencapaian besar setakat ini termasuklah lonjakan dalam sektor pelancongan yang mencecah sehingga lebih lima juta pengunjung, pelaburan projek kilang Top Dolomite serta kejayaan membuka kembali laluan maritim dari Kuala Perlis ke Tammalang, Thailand.

“Pentadbiran yang saya terajui sekarang ini, kita lihat data dan faham. Kalau tanya budak tabika pun, antara tiga tahun dengan lapan bulan, siapa mempunyai masa lebih banyak. Jadi, kalau kita nak bandingkan pentadbiran saya yang baharu berusia lapan bulan, saya rasa banyak perkara yang kita telah buat.

“Selain itu, kita juga dalam perancangan untuk memastikan industri tuna bertapak di sini memandangkan ia mempunyai potensi besar kepada Perlis dengan menggunakan perkhidmatan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP),” katanya di sini semalam.

Abu Bakar berkata, pentadbiran beliau juga komited untuk menghidupkan semula projek-projek Persekutuan yang tertangguh di negeri itu.

Katanya, projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian serta pembinaan Menara Pandang dan Jambatan Batu Puteh di Kuala Perlis, kini sedang berjalan lancar dalam proses tender.

“Satu lagi projek tertangguh sejak 2013 iaitu Jeti Bersepadu Sanglang (SIG) juga digerakkan semula. Syarikat yang dipertanggungjawabkan iaitu Mutiara Perlis sedang berusaha menghidupkan kembali projek ini kerana matlamat saya untuk menjayakan projek-projek yang ditinggalkan.

“Dalam hal kebajikan sepanjang lapan bulan ini, kita turut jayakan program Imarah Ramadan, mengagihkan sumbangan Aidilfitri kepada hampir 20,000 penduduk serta melancarkan ibadah korban melibatkan hampir 120 ekor lembu di Perlis,” katanya.

Katanya, segala usaha tersebut tidak akan berjaya tanpa adanya amalan semak dan imbang serta peranan anak-anak syarikat-kerajaan negeri yang banyak membantu dalam soal kelancaran kewangan.

Beliau turut memuji kelancaran jentera kerajaan menerusi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) yang bertindak cemerlang dalam menguruskan pembangunan dan pelaburan hasil sinergi utuh antara kepimpinan dan para penjawat awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×