Menceritakan tidak bermakna menyuruh orang melakukannya - Utusan Malaysia

Menceritakan tidak bermakna menyuruh orang melakukannya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Beratus-ratus kali drama Melayu memaparkan suami curang, isteri rampas suami orang, lelaki berkahwin dua atau tiga secara tidak bertanggungjawab, orang ambil dadah dan makan rasuah.

“Tidak ada pula orang kata kami menggalakkan masyarakat menjadi penyondol, menyuruh semua lelaki tambah isteri atau mengajar penonton cara hendak menjadi perasuah.

“Tapi, bila kami cuba angkat isu-isu semasa yang selama ini dianggap tabu seperti isu berkaitan LGBT, pemangsaan seksual, perkahwinan lavender, budaya bertukar pasangan dan sebagainya, belum pun karya itu ditonton, semua orang terus panik.

Demikian kata pengarah dan penerbit, Shahrulezad atau  Shahrulezad Mohameddin, 54, ketika mengulas pandangannya mengenai persepsi segelintir penonton terhadap karya yang mengangkat isu sensitif.

Katanya, ramai terlalu cepat membuat kesimpulan sehingga karya yang belum ditonton sudah dianggap cuba menormalisasikan sesuatu isu. Sedangkan, katanya, pengkarya mahu menunjukkan konflik, kerosakan, akibat dan penderitaan manusia yang terlibat.

“Bagi saya, menceritakan sesuatu bukan bermakna kita menyuruh orang melakukannya. Tunjuk watak penagih dadah bukan bermaksud kita mengajar orang mengambil dadah dan watak perasuah bukan bermaksud kita suruh orang makan rasuah.

“Jadi, kenapa apabila watak itu berdepan dengan isu seksualiti atau masalah sosial, tiba-tiba pengkarya dianggap sedang mengajak seluruh masyarakat mengikutinya?” katanya.

Ujar Shahrulezad yang juga dikenali Budak Ijat, dia akui pengkarya juga perlu ada nilai sensitiviti dan tanggungjawab besar apabila mengangkat isu sensitif ke kaca televisyen kerana seni bukan lesen untuk menjual kontroversi semata-mata.

“Pun begitu, saya setuju bahawa pengkarya memang wajib berhati-hati apabila memvisualkan isu-isu sensitif seperti ini. Ini bukan lesen untuk kita berlindung di sebalik nama ‘seni’ sedangkan tujuan sebenar cuma mahu menjual kontroversi. Jangan jadikan penderitaan manusia sebagai bahan promosi murahan. Jangan tunjuk benda yang tak perlu ditunjukkan semata-mata mahu orang bercakap.

“Jangan pula kita menggambarkan sesuatu secara begitu indah dan mengghairahkan, kemudian di hujung cerita mengaku kononnya kita sedang memberikan pengajaran. Cara visual, nada penceritaan, konteks dan akibat mesti jelas.

“Sebab kita perlu akui, bukan semua penonton drama di Malaysia mempunyai pengetahuan, pengalaman dan kesediaan emosi yang sama untuk berdepan dengan realiti sebenar yang memang sedang berlaku di sekeliling mereka. Ada yang baru nampak tajuk sahaja sudah panik,” jelasnya.

Pada lensanya, sesebuah karya wajar diberikan ruang untuk dinilai secara menyeluruh sebelum dijatuhkan hukuman hanya berdasarkan tajuk dan tanggapan awal.

“Sebagai pencerita, tugas kami bukan sekadar menceritakan dunia sebagaimana orang mahu melihatnya. Kadang-kadang, kami juga perlu berani menceritakan dunia yang orang tak sanggup mengaku sedang berlaku.

“Beri peluang kepada sesebuah karya untuk bercakap terlebih dahulu. Tengok dulu. Fahami konteksnya. Nilai cara ia dipersembahkan, mesejnya dan pengakhirannya. 

“Kalau selepas menonton karya itu memang cuai, mengeksploitasi isu atau jelas meraikan perkara yang salah, kritiklah. Saya sendiri akan setuju. Jangan baru nampak tajuk, terus hukum pengkarya sampai ke akhirat,” katanya.

Tambah Shahrulezad, sepanjang menghasilkan drama Khunsa dan Seribu Tahun, dia menjalankan penyelidikan bersama pihak Jakim, pakar psikiatri dan beberapa profesional berkaitan isu itu. Hasil perbincangan tersebut, katanya, banyak salah faham sebenarnya berpunca daripada stigma dan ketakutan yang tidak berasas.

“Sedikit trivia, semasa saya dalam proses mengkaji ecara mendalam dengan pihak Jakim, beberapa professional dalam issue LGBT dan intersex. Banyak ilmu yang saya kutip dan saya selitkan drama Khunsa dan Seribu Tahun. 

“Hasil dari perbincangan, penggalian ilmu dari sudut sains serta agama kita, apa yang saya boleh simpulkan ialah  isu sebenar yang berlaku ialah stigma dan salah faham serta ketakutan yang tidak berasas,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×