BUTTERWORTH : Pakej 1 bagi Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (PTJSD) kini mencatat tahap kemajuan sebanyak 40.79 peratus dengan kerja-kerja pembinaan sedang giat dilaksanakan di tapak projek.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pakej tersebut dijangka siap menjelang Oktober tahun depan manakala Pakej 2 hingga Pakej 5 pula sedang dalam proses penilaian serta panggilan tender.
Sehubungan itu, beliau berharap agar proses tender bagi kesemua pakej berkenaan dapat disempurnakan menjelang akhir tahun ini bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dimulakan pada awal tahun depan.
“Pada masa yang sama, kerajaan negeri akan memastikan isu-isu berkaitan pengambilan tanah dan pemindahan utiliti akan dilaksanakan secara serentak bagi memastikan projek ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya selepas melawat tapak projek berkenaan, hari ini.
Projek PTJSD merupakan projek berimpak tinggi yang dijangka menjadi antara penyelesaian utama terhadap isu kesesakan trafik di koridor Juru-Sungai Dua yang merupakan antara laluan paling sibuk di Lebuhraya Utara-Selatan.
Projek bernilai kira-kira RM3 bilion itu juga dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 pengguna jalan raya setiap hari di jajaran Juru-Sungai Dua sekali gus berpotensi mengurangkan kesesakan dan melancarkan aliran trafik.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, projek berkenaan turut mendapat perhatian serius daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pemantauan berkala dan mesyuarat bulanan bagi memastikan sebarang cabaran serta isu yang timbul dapat ditangani dengan segera.
“Matlamat utamanya ialah untuk memastikan supaya projek ini dapat dilaksanakan dan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu pada akhir tahun 2030,” katanya.
Tambah beliau, projek tersebut akan mengadaptasi konsep pengasingan trafik tempatan serta trafik di lebuh raya seperti yang dilaksanakan di Jelapang, Ipoh, Perak dan kaedah yang sama diharap dapat membawa kesan yang positif kepada aliran trafik di Juru-Sungai Dua selepas ini.-UTUSAN










