PETALING JAYA: Kerajaan perlu memilih sistem percukaian yang paling berkesan dalam meningkatkan hasil negara, melindungi pengguna, mengurangkan ketirisan dan tidak menambah beban pematuhan kepada perniagaan.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, pemilihan antara Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak semestinya dibuat secara hitam putih.
Katanya, sistem yang dipilih sebaliknya perlu cekap, telus, mudah dipatuhi dan adil kepada rakyat tanpa menghakis daya saing perniagaan.
“SST mempunyai kelebihan kerana pelaksanaannya lebih bersasar, selain kerajaan telah memperluaskan asas percukaian tersebut dengan mengecualikan barangan serta perkhidmatan asas tertentu.
“GST pula mempunyai mekanisme kredit cukai yang dapat mengurangkan kesan cukai bertindih di sepanjang rantaian bekalan. Kelebihan ini boleh membantu memperbaiki antara kelemahan yang terdapat dalam pelaksanaan SST.
“Kementerian Kewangan (MOF) mengunjurkan hasil SST selepas peluasan skop boleh menghampiri paras hasil GST yang pernah dicatatkan secara purata sekitar tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, GST perlu dilaksanakan dengan sewajarnya jika ia lebih berkesan berbanding SST.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dilaporkan berkata, kerajaan dalam masa sama tidak wajar mewujudkan sistem percukaian hibrid yang rumit, semata-mata untuk mengelak daripada menggunakan gelaran GST. – UTUSAN










