JAKARTA: Bekerja tanpa henti siang dan malam, anggota bomba Indonesia yang keletihan di pulau Borneo tidak mampu menandingi kebakaran yang terus memusnahkan kawasan hutan dengan menyelubungi masyarakat dengan jerebu tebal yang menyesakkan pernafasan.
Mereka berdepan pertempuran berbahaya dengan sumber dan peralatan yang terhad bagi memadamkan kebakaran yang sebahagiannya dikaitkan dengan episod fenomena iklim El Nino yang lebih kuat daripada biasa, menyebabkan Asia Tenggara mengalami cuaca kering.
Pakar turut menyalahkan perubahan iklim, kemerosotan hutan selama beberapa dekad dan amalan pembersihan tanah secara tebang termasuk melakukan pembakaran,
“Kami keletihan. Kadangkala kami menjalankan operasi memadam kebakaran sehingga subuh. Ada kalanya kami tidak tidur,” kata Sampe Ritonga, ketua pasukan bomba bagi Kabupaten Sintang.
“Fasiliti dan infrastruktur kami untuk memadamkan kebakaran sangat terhad,” katanya kepada AFP ketika berdiri di atas bara api yang masih berasap di kawasan tanah gambut yang dipisahkan daripada penempatan penduduk oleh sebatang jalan tanah sempit.
Di belakangnya, matahari yang diselubungi jerebu kelihatan seperti bebola berwarna karat yang menyeramkan di langit berwarna perang kelabu.
Pasukan Sampe hanya mempunyai dua jentera bomba berkapasiti 6,000 liter setiap satu dan mengerahkan sebuah pada satu-satu masa, sementara sebuah lagi diisi semula dengan air. Mereka turut berdepan kekurangan hos.
Pasukan itu telah memadamkan puluhan kebakaran pada bulan ini.
Dengan paras air sungai yang rendah, mereka mencari sumber air yang ada di parit dan sungai-sungai kecil”, termasuk yang terletak jauh dari lokasi kebakaran aktif, kata Sampe.
“Jadi, terdapat kesukaran kerana mereka perlu terlebih dahulu menjalankan operasi pemadaman dengan intensiti tinggi, dan kedua, mencari sumber air,” tambahnya.
“Dengan segala keterbatasan yang kami hadapi, kami berusaha sedaya upaya untuk memadamkan kebakaran dan juga mengurangkan asap,” tambahnya.
Penduduk Sutrismi, 47, berkata beliau berada di rumah pada Sabtu ketika terdengar bunyi berkeretak dan melihat ke luar tingkap dan ternampak asap naik dari kawasan tanah gambut di seberang jalan.
Kebakaran tanah gambut yang biasa berlaku di kawasan itu lazimnya membara dan merebak di bawah permukaan tanah selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, menghasilkan asap dalam jumlah yang besar dan hanya jarang menyebabkan kebakaran di permukaan.
“Perkara pertama yang saya lakukan ialah mencari bantuan. Saya menghubungi ketua kampung dan meminta bantuan,” kata Sutrismi kepada AFP.
“Saya takut. Benar-benar takut,” tambahnya.
Kira-kira 400 kilometer jauhnya di Pontianak, ibu negeri Kalimantan Barat, penduduk telah menghirup udara tercemar selama berminggu-minggu.
Bau jerebu boleh dihidu walaupun di dalam rumah di bandar yang mempunyai kira-kira 700,000 penduduk itu. – AFP










