Panik sekatan, lima penunggang tinggalkan motosikal

Panik sekatan, lima penunggang tinggalkan motosikal

Op Bersepadu Samseng Jalanan oleh IPD Putrajaya di Lebuh Sentosa, Putrajaya. - GAMBAR IPD PUTRAJAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tinggal motor, lari lintang-pukang.

Itu tindakan sekumpulan penunggang motosikal dipercayai ‘mat rempit’ selepas menyedari kehadiran polis dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Lebuh Sentosa, di sini, awal pagi tadi.

Lima motosikal berkenaan ditinggalkan penunggang masing-masing di bawah jejambat Lebuh Wawasan ketika sekatan jalan raya dilaksanakan dalam operasi berakhir 8 pagi tadi itu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan masyarakat berkaitan kegiatan samseng jalanan, lumba haram dan gangguan bunyi bising di sekitar Putrajaya.

Beliau berkata, dalam operasi sama, sebanyak 14 kenderaan membabitkan 13 motosikal dan sebuah kereta disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sebanyak 35 keping saman Pol. 257 turut dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan.
Tiada tangkapan dibuat sepanjang operasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, operasi digerakkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya itu melibatkan kekuatan seorang pegawai kanan polis dan 21 anggota.

Aidi Sham berkata, ia membabitkan anggota BSPT IPD Putrajaya, Unit MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPD Putrajaya serta Balai Polis Presint 7.

“Operasi tertumpu di laluan Lebuh Sentosa dari Kilometer 2.9 hingga Kilometer 4.0 bagi menjalankan pemeriksaan, rondaan dan pemantauan terhadap pengguna jalan raya serta kumpulan motosikal yang disyaki terbabit dalam aktiviti samseng jalanan dan lumba haram,” katanya.

Katanya, ketika penutupan jalan dilaksanakan, lima motosikal ditemukan ditinggalkan di bawah jejambat Lebuh Wawasan sebelum kesemuanya dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.

Selain penguatkuasaan, katanya, operasi itu turut disusuli pengisian kerohanian menerusi solat Subuh secara berjemaah serta sesi advokasi berkaitan bahaya lumba haram dan samseng jalanan.

“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti tersebut kerana ia bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam, malah boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Kita akan terus mempergiatkan operasi secara bersepadu dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×