Dua maut akibat rempit

Dua maut akibat rempit

Maut
TANGKAP layar rakaman daripada video yang tular dalam media sosial memaparkan kejadian kemalangan maut melibatkan sekumpulan mat rempit dekat Persiaran Raja Muda Musa di Klang, Selangor, pada awal pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Dua remaja termasuk seorang pelajar sekolah menengah maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah motosikal didakwa ditunggangi secara laju dan berbahaya dekat Persiaran Raja Muda Musa, di sini, pada awal pagi semalam.

Seorang mangsa berusia 21 tahun maut di tempat kejadian sementara seorang lagi berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Motosikal terlibat dalam insiden kira-kira pukul 4.30 pagi adalah model Yamaha Y125ZR, Y16ZR dan Legenda 115Z serta Honda RS-XFS150.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dua mangsa berkenaan terbabit dikatakan menunggang motosikal secara berkumpulan dengan aksi menunggang secara laju dan berbahaya kepada pengguna lain.

“Mereka menunggang motosikal di sepanjang jalan bermula dari Kompleks Sukan Pandamaran menghala ke Pelabuhan Klang serta berpatah balik dengan membuat beberapa pusingan.

“Kemudian, salah seorang daripada mereka terbabas di atas jalan raya lalu dirempuh oleh beberapa motosikal daripada kumpulan lain,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jelasnya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Malah, Hoong Fong memaklumkan, Persiaran Raja Muda Musa kerap dijadikan litar atau medan oleh golongan remaja terutama pada hujung minggu walaupun sudah beberapa kali operasi dijalankan dan tangkapan dilakukan.

Dalam pada itu, beliau menggesa ibu bapa atau penjaga harus lebih peka, prihatin dan mengawal anak masing-masing agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti lumba haram yang boleh mengancam nyawa mereka sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan tersebut diminta untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Khairul Nizam melalui talian 010-2452144,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN