Lapan negara Islam kecam dua menteri Israel - Utusan Malaysia

Lapan negara Islam kecam dua menteri Israel

BEBERAPA bangunan musnah akibat serangan Israel di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Lapan negara Islam dan Arab pada Ahad mengecam rancangan yang disuarakan dua menteri kerajaan Israel untuk mengusir rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza, dengan berkata, rancangan tersebut menjejaskan usaha damai yang disokong Amerika Syarikat (AS)  di wilayah berkenaan.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata pada Rabu bahawa Israel mempunyai rancangan untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza tetapi masih menunggu kelulusan AS mengenai lokasi untuk memindahkan penduduk wilayah tersebut.

Sehari kemudian, Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir berkata, rancangan itu bertujuan memindahkan 250,000 rakyat Palestin dari Gaza pada tahun pertama, diikuti penduduk selebihnya yang berjumlah kira-kira dua juta orang dalam tempoh enam tahun berikutnya.

Menteri Luar Arab Saudi, Mesir, Jordan, Emiriyah Arab Bersatu, Qatar, Pakistan, Indonesia dan Turkiye berkata, mereka mengecam sekeras-kerasnya rancangan dan mekanisme yang dicadangkan bertujuan mengusir rakyat Palestin secara paksa dari tanah mereka.

Para menteri memberi amaran mengenai kesan buruk yang serius sekiranya seruan untuk pemindahan secara paksa diterjemahkan menjadi dasar rasmi atau tindakan praktikal.

“Langkah-langkah sedemikian secara langsung mencabar usaha antarabangsa untuk mencapai keamanan, khususnya pelan menyeluruh Presiden Donald Trump untuk menamatkan konflik di Gaza, yang dengan tegas menolak pemindahan secara paksa,” kata mereka, merujuk kepada pelan damai Gaza yang disokong AS dan diumumkan pada Oktober 2025.

Pada Sabtu, Duta Besar AS ke Israel, Mike Huckabee, yang merupakan penyokong tegar Israel dan peneroka haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki, menafikan wujudnya rancangan Israel untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza secara paksa. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×