SERDANG: Peningkatan produktiviti terutama di kawasan jelapang yang mencatat hasil rendah perlu diberi tumpuan dalam usaha mencapai sasaran Kadar Sara Diri (SSR) beras sebanyak 80 peratus.
Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Beras, Dr. Elixon Sunian Sulaiman berkata, terdapat jurang perbezaan hasil antara kawasan yang perlu ditangani bagi meningkatkan pengeluaran padi negara.
Beliau berkata, program khusus perlu diwujudkan di kawasan yang mencatat hasil rendah bagi membantu meningkatkan produktiviti pesawah.
“Kita ada perbezaan hasilnya amat ketara sebenarnya. Saya bagi contoh, di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pulau Pinang dan Rompin mempunyai perbezaan hasil yang jauh. Jadi kita kena tumpukan kawasan-kawasan berhasil rendah ini.
“Ini menandakan perlunya program khusus di kawasan-kawasan berhasil rendah tersebut, supaya purata hasil pengeluaran itu dapat ditingkatkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di sini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sasaran peningkatan SSR beras Malaysia kepada 80 peratus hanya angan-angan yang sukar direalisasi jika pesawah masih dibelenggu isu asas seperti pembekalan baja.
Ini kerana hanya sekitar 137,560 beg atau 22 peratus baja sebatian tambahan (Baja Padi 3) berjaya dibekalkan daripada keseluruhan 616,015 beg yang diperlukan pesawah.
Dalam pada itu, Elixon berkata, pesawah yang mencatat hasil padi tinggi juga boleh memainkan peranan dengan membantu pesawah yang memperoleh hasil rendah.
Beliau berkata, perkongsian amalan terbaik dalam kalangan pesawah bagi meningkatkan produktiviti padi amat penting.
“Dalam kalangan pesawah sendiri ada yang berhasil tinggi dan berhasil rendah. Dan sepatutnya bagi saya, tidak ada masalah kalau yang pesawah yang kita panggil pesawah maju untuk membimbing pesawah yang berhasil rendah ni melalui persatuan mereka.
“Ini secara tidak langsung akan menjadikan pesawah berhasil tinggi sebagai contoh atau rujukan kepada yang lain dan sedikit sebanyak meningkatkan dari segi produktiviti kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN










