KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) merampas semula gelaran gelaran juara keseluruhan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 apabila mengutip 35 emas, 20 perak dan 15 gangsa.
Walaupun Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengumpul keseluruhan pingat lebih banyak iaitu 82 berbanding 70 milik UPM, kelebihan 35 emas membolehkan universiti itu kembali menduduki takhta yang terlepas pada edisi lalu.
Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, kejayaan tersebut membuktikan pembangunan atlet di universiti secara terancang dan berterusan mampu menghasilkan pencapaian membanggakan.
“Kejuaraan keseluruhan SUKIPT 2026 membuktikan bahawa pembangunan atlet pelajar secara terancang dan berterusan mampu menghasilkan kejayaan yang membanggakan.
“Pencapaian ini bukan hanya diukur melalui jumlah pingat, sebaliknya mencerminkan keberkesanan ekosistem sukan UPM yang merangkumi pencarian bakat, latihan sepanjang tahun, sokongan sains sukan dan kebajikan atlet,” katanya.
Menurut beliau, kekuatan itu dipacu Akademi Sukan UPM dengan sokongan Pusat Kecemerlangan Sukan bagi olahraga, Pusat Sukan Tumpuan untuk ragbi, memanah dan sepak takraw serta Projek Larian Bawah 10 Saat.
“Namun, kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa kesatuan hati atlet, jurulatih, pegawai, fakulti dan seluruh warga universiti, malah inilah semangat True North UPM, ‘daripada saya kepada kita’, apabila kekuatan setiap individu digembleng untuk mencapai kejayaan bersama.
“UPM akan terus memastikan atlet pelajar menerima ruang dan sokongan terbaik untuk berkembang secara seimbang dalam sukan, akademik serta pembentukan sahsiah, manakala gelaran ini menjadi dorongan untuk kami memperkasakan lagi pembangunan atlet pelajar demi universiti dan negara,” katanya.
Kejayaan itu turut mengembalikan UPM ke puncak selepas UiTM muncul juara keseluruhan pada 2024 dengan 38 emas, 20 perak dan 39 gangsa, manakala UPM sebelum ini pernah menjuarai edisi 2022, 2018 dan 2012.
Sementara itu, pelari jarak jauh HELP University, Darren James Nair Rodney James, dinobatkan sebagai Olahragawan SUKIPT 2026 selepas merangkul tiga emas menerusi acara 10,000 meter (m), 5,000m dan 3,000m lari berhalangan, selain memecahkan rekod kejohanan dalam ketiga-tiga acara berkenaan.
Gelaran Olahragawati pula menjadi milik Syahida Asyiqin Rusli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas dia meraih emas kayak TK1 wanita 200m dengan catatan 56.30 saat, sekali gus memecahkan rekod kejohanan 57.29s.-UTUSAN










