Akta baharu perlu lebih baik daripada AUKU

Akta baharu perlu lebih baik daripada AUKU

PEMANSUHAN AUKU mestilah menjadi titik permulaan reformasi struktural menyeluruh yang diselaraskan dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAH Perdana Menteri memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) ialah creative destruction (pemusnahan kreatif) demi membina masa depan pendidikan tinggi yang merdeka dan bertanggungjawab.
Pemansuhan AUKU mestilah menjadi titik permulaan reformasi struktural menyeluruh yang diselaraskan dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 menerusi prinsip utama:

Penyepaduan akta
Menggantikan AUKU dengan kerangka komprehensif yang menyatukan tadbir urus merentasi universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta, politeknik dan kolej komuniti. Ini merapikan standard tadbir urus dan melonggarkan kawalan ketat penggunaan nama/status institusi (Seksyen 24) agar lebih fleksibel serta mesra inovasi pendidikan.

Autonomi kewangan dan hak berpersatuan
Melonggarkan syarat tegar penubuhan persatuan serta kawalan kewangan pelajar. Kuasa mutlak Naib Canselor untuk membubarkan pertubuhan mahasiswa perlu dipindahkan kepada mekanisme semak dan imbang yang adil.

Tribunal tatatertib
Menggantikan jawatankuasa tatatertib dalaman dengan Tribunal Tatatertib Bebas yang telus dan melibatkan wakil mahasiswa. Tatatertib staf akademik (Seksyen 16C) wajib dipinda bagi menjamin kebebasan pakar menyampaikan wacana ilmiah tanpa ancaman tindakan disiplin.

Demokrasi kampus dan kepimpinan
Memperkasakan mahasiswa sebagai warga dewasa untuk berpolitik dan mentadbir urus secara mandiri. Pelantikan kepimpinan tertinggi universiti dan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) wajib dibuat secara telus menerusi Jawatankuasa Carian yang bebas daripada campur tangan politik.

Konsultasi inklusif dan terbuka
Penggubalan akta baharu hendaklah melibatkan seluruh pemegang taruh.

Reformasi ini akan mematangkan demokrasi kampus, menjamin kebebasan akademik dan menjadikan universiti lebih inklusif demi menjayakan misi Malaysia sebagai hab pendidikan global berintegriti. – UTUSAN

IKRAM ACADEMIA
(Persatuan Akademia IKRAM Malaysia)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×