PM Anwar arah SPRM siasat kelewatan bekalan baja

PM Anwar arah SPRM siasat kelewatan bekalan baja

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS, Serdang di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarah melakukan siasatan berkaitan isu kelewatan bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), di Kedah.

Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permasalahan kelewatan itu yang menyebabkan golongan pesawah menjadi mangsa dan ia tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dibiarkan berulang.

Katanya, jika terdapat sebarang salah laku dikesan, tindakan pembatalan kontrak bekalan termasuk pendakwaan mengikut jalur perundangan negara terhadap pelaku atau mana-mana syarikat terlibat perlu dilakukan.

“Syarikat mana diberi amanah? Mereka tunai janji atau tidak? Kalau mereka tidak tunai, mengapa tidak ada tindakan terhadap mereka? Kalau syarikat yang seperti ini berulang kali melakukan kesilapan, batalkan. Ambil syarikat baharu.

“Jangan jadikan petani dan pesawah mangsa. Ambil tindakan, jika ada kesalahan, hadapkan ke mahkamah. Kalau nak dakwa, SPRM masuk, kaji balik proses ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini, hari ini.

Tegasnya lagi, isu tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana kesan akhirnya ditanggung oleh rakyat yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan.

“Yang siasat bukan saya. Yang siasat itu pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kelewatan pembekalan baja kepada pesawah berisiko menjejaskan pengeluaran padi tempatan serta menurunkan Kadar Sara Diri (SSR) beras negara.

Dianggarkan kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan MADA masih belum menerima bekalan baja tambahan ketiga, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap hasil tuaian musim semasa.

Keadaan itu turut dibimbangi akan meningkatkan lagi kebergantungan Malaysia terhadap import beras bagi memenuhi permintaan domestik. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×