Letusan Anak Krakatau: Penumpang KLIA-Jakarta diminta hubungi syarikat penerbangan

Letusan Anak Krakatau: Penumpang KLIA-Jakarta diminta hubungi syarikat penerbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penumpang yang dijadualkan menaiki penerbangan ke Jakarta dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual penerbangan.

Ia susulan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta akibat abu gunung berapi Anak Krakatau.

KLIA dalam nasihat perjalanan memaklumkan, penutupan lapangan terbang berkenaan berpunca daripada abu gunung berapi, selain menyediakan kawasan rehat kepada penumpang yang terjejas sementara menunggu perkembangan lanjut berhubung penerbangan mereka.

“Di Terminal 1, kawasan rehat yang disediakan adalah di Anjung Tinjau, Aras 5 Bangunan Terminal Utama; Kawasan CRS, Aras 3 Bangunan Terminal Utama; serta Pintu C36, Aras Mezanin Bangunan Satelit.

“Bagi Terminal 2 pula, kawasan rehat terletak di Aras 3A (Tingkat Mezanin), Dewan Berlepas,” menurut kenyataan itu hari ini.

Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Sumatera terus meletus semalam, dengan pihak berkuasa melaporkan aktiviti pancutan lava serta bunyi dentuman dan gemuruh yang kedengaran dari pos pemerhatian.

Letusan itu bermula pada 11.07 malam waktu tempatan pada Jumaat dan berterusan sepanjang pemerhatian dari tengah malam hingga 6 pagi Sabtu.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia memaklumkan gunung berapi itu kekal pada Tahap III atau Siaga (Amaran), dengan zon larangan dalam radius tiga kilometer dari kawah aktif.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan struktur Anak Krakatau yang terbentuk semula ketika ini adalah relatif kecil dan tidak dianggap berupaya runtuh pada skala yang boleh mencetuskan tsunami. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×