UiTM terus kuasai compound wanita 

UiTM terus kuasai compound wanita 

Aina Syazwana Abdul Muhaimin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad compound wanita Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuktikan dominasi mereka belum berakhir apabila sekali lagi merangkul emas Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 selepas menundukkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 222-216 di Padang Varsiti, Universiti Malaya (UM) semalam.

Kejayaan itu cukup istimewa buat Aina Syazwana Abdul Muhaimin yang menjadi satu-satunya pemanah berpengalaman dalam kuartet berkenaan, sementara tiga lagi anggota merupakan muka baharu UiTM pada edisi kali ini.

Aina berkata, mereka memilih untuk tidak melayan tekanan daripada pencabar sebaliknya memastikan setiap panahan dilakukan dengan sebaik mungkin bagi merealisasikan misi mempertahankan kejuaraan.

“Kami datang dengan fokus untuk melakukan yang terbaik dan tidak mahu terlalu memikirkan lawan kerana majoriti anggota pasukan tahun ini adalah muka baharu, namun saya percaya mereka mempunyai kekuatan yang sama seperti skuad sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, ketiadaan pengalaman bersama dalam skuad UiTM bukan masalah besar kerana keempat-empat pemanah terbabit sudah mempunyai keserasian selepas bergandingan ketika membawa cabaran Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

“Keserasian itu sebenarnya sudah terbina kerana kami semua daripada pasukan Selangor dan sudah banyak kali beraksi bersama, jadi sekarang hanya perlu memperkemaskan lagi gandingan, tambahan pula atlet baharu kami baru selesai Sukma dengan prestasi yang cukup baik,” katanya.

Belum sempat meraikan kejayaan itu lama, Aina terus berlepas ke Korea Selatan malam tadi untuk menyertai kem latihan selama dua minggu sebagai persediaan menghadapi cabaran sulungnya di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Jepun.

Pada penampilan pertamanya di pentas Sukan Asia, Aina meletakkan sasaran untuk membantu Malaysia memburu pingat dalam acara compound berpasukan wanita selepas kejayaan meraih gangsa pada Piala Asia sebelum ini, selain memburu pencapaian peribadi 700 mata.

“Untuk Sukan Asia nanti, sasaran kami adalah pingat tanpa mengira warnanya, manakala bagi acara individu saya mahu menghasilkan skor terbaik dengan sasaran 700 mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×