MARAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menzahirkan rasa dukacita atas pemergian peserta Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) 2026, Fadhlan Fakhry Solana Mohd. Fellimal dari cawangan Negeri Sembilan.
Institusi pengajian tinggi (IPT) itu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menegaskan komitmen penuh terhadap kebajikan warganya. Bantuan menyeluruh sudah digerakkan bagi memastikan urusan pengurusan jenazah, dokumentasi, pengangkutan dan sokongan emosi kepada keluarga berjalan lancar.
Sebagai langkah segera, pihak pengurusan universiti memutuskan membatalkan pertandingan aktiviti luar KKEC 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 6 September. Tindakan itu sebagai bukti keutamaan terhadap keselamatan dan kesihatan para pelajar.
Program tahunan yang menghimpunkan komander kesatria dari seluruh UiTM se-Malaysia itu berlangsung dari 2 hingga 8 September di Kampus Jengka, UiTM Cawangan Pahang.
UiTM menegaskan bahawa penganjuran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ketat Semua peserta diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum program bermula, selain saringan berkala sebelum setiap acara. Malah, beberapa peserta terdahulu diminta menarik diri selepas gagal saringan akhir.
UiTM memaklumkan pihaknya memandang serius insiden ini dan terus memantau rapi situasi semasa bagi memastikan kebajikan semua pihak terpelihara.
Terdahulu, seorang penuntut UiTM dilaporkan meninggal dunia manakala lapan lagi dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah berkaitan haba ketika menyertai KKEC 2026 di kampus UiTM Jengka, kelmarin.
Fadhlan Fakhry Solana, 21, meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai, mengesahkan mangsa adalah antara dua pelajar yang menerima rawatan di HoSHAS manakala tujuh lagi dirawat di Hospital Jengka.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati pelajar terbabit mengalami masalah berkaitan haba termasuk kekurangan oksigen ketika menyertai acara ketahanan berkenaan,” katanya. – UTUSAN










