KUALA LUMPUR: Usahawan dan Pengarah Syarikat, Dr Nor Atiqah Mohamad Alwi, percaya sepenuhnya terhadap sistem institusi kehakiman negara dalam mengendalikan kes membabitkan syarikat A2 Wax Sdn. Bhd.
Nor Atiqah, 37, berkata prosiding kes berkenaan masih berjalan dan kini sudah hampir separuh daripada proses perbicaraan.
“Seperti berita yang pernah disiarkan pada 2025, saya didakwa di Mahkamah Terengganu membabitkan kes syarikat saya.
“Kes itu masih dalam prosiding dan saya diwakili peguam, Tuan Muhammad Rafique Rashid Ali. Setakat ini, perbicaraan sudah melalui hampir separuh proses dan mungkin berbaki dua saksi lagi.
“Buat masa ini, saya masih menunggu tarikh pada Oktober bagi sesi perbicaraan seterusnya. Untuk perkembangan lanjut mengenai kes itu, saya serahkan kepada peguam untuk memberikan penjelasan,” katanya.
Mengulas mengenai pengalaman berdepan proses perundangan sejak 2022, Nor Atiqah mengakui perkara itu memberi tekanan kepada emosi.
“Sudah tentu perkara ini memberikan tekanan kerana saya berdepan dengan kes mahkamah sejak 2022. Tekanan dan kebimbangan itu memang ada.
“Saya masih meneruskan urusan harian termasuk mengendalikan perniagaan seperti biasa dan bersyukur kerana sepanjang proses ini, saya dipertemukan dengan individu yang baik dan banyak membantu,” ujarnya.
Menurutnya, pengalaman berdepan kes berkenaan turut memberi kesan terhadap aspek kepercayaan, terutama dalam urusan perniagaan.
Katanya, kejadian itu menjadikannya lebih berhati-hati dalam memberikan kepercayaan kepada orang lain.
Nor Atiqah turut mengakui pernah berasa kecewa apabila terdapat pihak yang seolah-olah tidak menjalankan tugas dan amanah sewajarnya.

“Kita sebagai rakyat biasa tentunya berharap kepada pihak yang diberikan amanah dan kuasa untuk membantu serta melindungi kepentingan rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, dia tetap yakin terhadap sistem institusi kehakiman negara dan berharap kes berkenaan diputuskan berdasarkan proses perundangan yang adil.
“Saya percaya sistem kehakiman kita dan berharap serta berdoa agar kes ini dapat dibicarakan secara adil dan diselesaikan dengan sebaik-baiknya.
“Saya bersyukur keluarga sentiasa memberikan sokongan dan berterima kasih kepada peguam saya, Tuan Rafique Rashid, yang membantu saya sepanjang proses kes ini,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Atiqah menasihatkan individu yang berdepan situasi sama supaya tidak berputus asa dalam mendapatkan keadilan.
Terdahulu, Nor Atiqah dan suaminya didakwa atas pertuduhan menyalahgunakan wang milik syarikat A2 Wax Sdn. Bhd. berjumlah RM49,000 antara 29 Ogos hingga 23 November 2021 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Dalam pertuduhan kedua, pasangan itu didakwa menyalahgunakan wang syarikat berjumlah RM7,000 pada 31 Januari 2022.
Mereka didakwa mengeluarkan dan menggunakan cek tunai bagi membayar sewa premis di alamat sama yang didakwa merupakan kediaman mereka di Bandar 16 Sierra, Puchong, Selangor.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.
Bagaimanapun, Nor Atiqah mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan.










