Muktamar: Pas mesti buka pintu seluas-luasnya kepada anak muda 

Muktamar: Pas mesti buka pintu seluas-luasnya kepada anak muda 

AFNAN Hamimi Taib Azamuddin semasa  semasa penggulungan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas perlu membuka pintu seluas-luasnya kepada generasi muda bagi memastikan sokongan kelompok berusia 40 tahun ke bawah terus diperkukuh menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, kelompok berkenaan adalah majoriti penduduk dan semakin menunjukkan kecenderungan menyokong parti itu serta Perikatan Nasional (PN).

Katanya, perkembangan itu turut dapat dilihat dalam pilihan raya negeri (PRN)  lalu apabila sokongan pengundi muda terhadap Pas dan PN sangat ketara.

“Pas ada dewan yang besar, pintu yang nak masuk dewan itu juga kena besar. Kalau dewan kita besar, tetapi pintu kita buka kecil, orang nak masuk tak boleh. 

“Buka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang nak bersama Pas,” katanya semasa penggulungan Ucapan Dasar Presiden Pas sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Menurut Afnan Hamimi, berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dirujuk, Malaysia mempunyai kira-kira 34.2 juta penduduk dengan antara 60 hingga 65 peratus majoritinya berusia bawah 40 tahun.

Katanya, golongan muda tanpa mengira lelaki atau wanita sama ada di bandar mahupun luar bandar adalah kelompok penting yang bakal menentukan masa depan negara.

“Mereka ini sedang meningkatkan sokongannya kepada Pas. Setiap hari mereka mencari apakah berita tentang Pas, apa yang orang cakap tentang Pas, bahkan mereka sendiri mula bercakap tentang Pas,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, usaha penyatuan parti-parti politik di bawah nilai Islam turut mendapat sambutan positif daripada golongan muda.

Katanya, Pemuda Pas akan terus memimpin usaha penyatuan berkenaan sekiranya ia mampu memastikan Islam mencapai kemenangan.

“Walaupun berlumpur, main selut, kotor, Pemuda Pas akan terus memimpin penyatuan. Kalau inilah yang boleh memastikan Islam menang,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×