Fasa pertama projek PIL2A capai 29.85 peratus kemajuan - Zairil

Fasa pertama projek PIL2A capai 29.85 peratus kemajuan – Zairil

ZAIRIL KHIR JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Fasa pertama bagi projek pembinaan Lebuhraya Pan Island Link 2A (PIL2A) yang menghubungkan Jalan Permatang Damar Laut dengan Pulau Silikon kini telah mencapai kemajuan sebanyak 29.85 peratus iaitu setakat penghujung bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, lebih memberangsangkan, kemajuan projek berkenaan kini 0.42 peratus mendahului jadual sekali gus menunjukkan pelaksanaan kerja berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan.

Katanya, projek dengan kontrak keseluruhan bernilai RM420 juta itu melibatkan pembinaan jalan raya dan jambatan marin sepanjang 1.5 kilometer (km) yang akan menyediakan laluan terus dari persimpangan di Jalan Permatang Damar Laut menuju ke pulau buatan tersebut.

“Jambatan marin itu direka menggunakan struktur jenis ‘Balanced Cantilever Beam’ dan akan dibuka secara berperingkat. Bahagian pertama (jambatan) dijangka siap dan dibuka kepada awam pada Disember 2028 manakala keseluruhan projek PIL2A pula dijadual siap sepenuhnya menjelang Jun 2029,” katanya di sini, hari ini.

Zairil berkata, ketika ini, kerja-kerja pembinaan bagi struktur bawah termasuk pembinaan ‘pile cap’ dan tiang sedang giat dijalankan di kawasan marin serta darat di Permatang Damar Laut manakala bagi pembinaan struktur atas pula, sebanyak 260 unit T-beam diperlukan dengan 25 unit daripadanya telah selesai menjalani proses ‘casting’ setakat 31 Ogos lalu.

Dalam pada itu, katanya, aspek keselamatan tapak, kawalan operasi serta pengurusan alam sekitar terus diberi keutamaan sepanjang pelaksanaan projek bagi memastikan kerja pembinaan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berakauntabiliti.

“Memandangkan jajaran PIL2A turut melibatkan kawasan kediaman, komunikasi berterusan dengan masyarakat setempat dilaksanakan khususnya berkaitan kerja-kerja pelencongan atau penutupan jalan sementara yang diperlukan sepanjang kerja pembinaan dilakukan,” ujar beliau.

Tambah Zairil, kerajaan negeri akan terus memantau rapi pelaksanaan projek terbabit menerusi kerjasama dengan Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), pemaju dan kontraktor bagi memastikan sebarang cabaran di tapak dapat ditangani dengan berkesan.

“Apabila siap kelak, fasa pertama PIL2A bakal menjadi laluan tetap utama ke Pulau Silikon melalui Jalan Permatang Damar Laut sekali gus menyokong pembangunan kawasan berkenaan serta pertumbuhan bandar yang lebih mampan di Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×